
Resepi Apam Lenggang atau Apam Manis
Salam Jumaat semua, hari ni kakchik nak share resipi Apam Lenggang atau Apom Lenggang. Ada juga orang panggil Apam Manis.
Ikutlah yang mana pun, janji makan panas-panas cecahkan dengan sambal dan kari memang sedap sangat uii.
Kakchik memang suka makan jenis-jenis lempeng ni. Nak pula bahan dan cara mudah. Memang kerap buat untuk sarapan dan minum petang.
Sarapan pula dengan teh o panas atau kopi o kaw. Perghhh lajak berkeping-keping jadinya. Nak pula pagi ni syahdu saja. Hurmmmm. Macam tak cukup pula buat 1 adunan.
Bahan-Bahan:
1/2 cawan nasi
1 1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula
1 biji telur
1 1/4 cawan air
1 cawan santan
1 sdb mauripan
1 sdb minyak masak
Garam
Kakchik guna gula perang. Kalau guna gula putih pun jadi. Ikut apa ada dirumah saja ya. Ini juga antara variasi resipi yang guna baki nasi yang tak habis. Jimat kan?
Cara Membuat:
1. Semua bahan tu kita kisarkan dalam pengisar sampai semua bahan teradun. Tuangkan dalam bekas lain. Perap 1 jam, sedang elok bangun untuk solat subuh tu bancuh bahan, lepas tu perap. Boleh lah buat benda lain sementara tu. Mak-mak kan dia selalu multi tasking.
2. Selepas diperap 1 jam. Nampak berbuih dah kacau-kacaukan bagi rata ya. Jom panaskan kuali. Kakchik gunakan kuali anti lekat. Kakchik sapukan dengan marjerin planta. Perghhhh tambah sedap uiiii. Lain macam wangi dia. Menggoda sungguh.
3. Kakchik guna senduk kecil saja. Atas kuali yang telah panas tuangkan adunan Apom Lenggang kita tadi. Ratakan atas kuali, biar dia menipis. Lagi nipis lagi syok. Gunakan api kecil saja. Biarkan adunan mengering dan garing.
4. Bila nampak bahagian tepi dah mula mengering dan garing boleh lah kita gulungkan. Kakchik gulung terus atas kuali. Senang cerita, angkat bubuh atas pinggan. Dah siap. Buat sampai habis adunan kita tadi ya.
5. Panggil anak dan suami makan. Hidangkan dengan sambal tumis dan kari semalam yang dah diperangat. Sebelum tu jangan lupa mak pun kena makan. Jaga kesihatan, mak yang sihat boleh berbakti pada keluarga. Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Umi Watie