Kuih Muih

Cara Buat Kuih Mochi Kacang Merah

cara-buat-kuih-mochi-kacang-merah

Cara Buat Kuih Mochi Kacang Merah

Minum petang ke tuh. Ade peminat kuih mochi ker, jom try.

Bahan A:

  • 1 1/2 cawan Tepung Pulut
  • 5 sudu besar Tepung Jagung
  • 3 1/2 sudu besar Gula
  • 3/4 cawan Cecair (air biasa)

Bahan B:

  • Beberapa titik pewarna makanan ikut kesukaan.
  • Pelbagai jenis inti yang diperbuat dari pes mung bean (pes kacang hijau tanpa kulit), pes kacang merah dan pes coklat. Mudah didapati dari kedai membekal barangan pastri dan kek.

Bahan C:

  • 1/2 cawan Tepung Pulut – disangai

Cara Penyediaan:

1. Inti; Pelbagai jenis inti jenis pes, seperti pes kacang merah, pes pandan mung bean, pes coklat, boleh digentel sebesar guli kecil. Ketepikan. Kemudian sediakan periuk kukusan, isi air dan panaskan.

2. Sementara itu, di dalam mangkuk satukan bahan-bahan (A). Berhati-hati semasa menuang air, tuang air sedikit demi sedikit sehingga menjadi adunan seperti pes (tidak pekat seperti doh dan tidak terlalu cair).

3. Bahagi-bahagikan adunan pes tadi kepada beberapa bahagian, masukkan di dalam bekas berasingan dan warnakan dengan warna pilihan. Bila air kukusan sudah menggelegak, kukus adunan pes selama 30 minit.

4. Setelah 30 minit, adunan pes akan mula memekat. Angkat adunan dari periuk kukusan dan biarkan adunan menjadi suam-suam kuku. Tutup adunan dengan plastik atau piring supaya permukaan adunan tidak kering.

5. Proses membentuk; Adunan akan sedikit melekit, jadi pastikan jari-jari anda diselaputi tepung pulut yang telah disangai.

6. Ambil sedikit adunan, lebih kurang 1/2 sudu besar, bentukan bulat, kemudian leperkan, isikan inti ditengah dan bentukkan semula menjadi bebola kecil, saluti bebola berinti dengan tepung pulut yang telah disangai.

7. Berhati-hati semasa membentuk kerana adunan suam-suam dan sedikit panas. Ulangi proses membentuk bebola berinti sehingga habis, dan bolehlah dihidangkan. Resepi ini menghasilan 30 biji bebola mochi.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Donut Montel

Petua:

1. Sweet rice flour atau tepung khas mochiko adalah sejenis tepung pulut yang berkanji tinggi dan mudah memekat dan kenyal apabila dipanaskan. Manakala tepung pulut biasa yang terdapat di Malaysia, kandungan % kanjinya agak rendah. Penggunaan tepung jagung adalah untuk membantu memberi kekenyalan kepada adunan mochi.

2. Berhati-hati semasa menuang air kepada adunan untuk dijadikan pes. Saya pernah mencuba pelbagai jenama tepung pulut yang berbeza, ada yang memerlukan 1 cawan air, ada juga jenama yang hanya menggunakan sekadar 3/4 cawan air atau kurang.

3. Jadikan adunan tepung seperti pes. Jika membuat kuih buah melaka/onde-onde adunan tepung pulut harus dijadikan doh, adunan mochi pula harus sedikit lembik dari itu, tetapi tidak terlalu cair.

4. Cecair. Saya hanya menggunakan air biasa sahaja. Boleh juga digunakan susu segar, atau gabungan air biasa dengan susu cair atau boleh digabung dengan santan. Ikut pilihan masing-masing

5. Sukatan cawan dan sukatan sudu adalah menggunakan sukatan cawan dan sudu metrik. Selamat mencuba.

Cara Buat Kuih Mochi Kacang Merah

Resepi Oleh: Suzi Yanti Md Hane