
Paru Goreng Sambal Ijo ala Restoren Nasi Padang
Assalamualaikum wbt dan selamat tengahari, semoga semua sihat sejahtera. Untuk kali ini saya ingin kongsikan resepi yang saya masak beberapa hari yang lalu – PARU GORENG SAMBAL IJO selera minang ala restoran nasi padang kegemaran saya dan isteri. Resepi dan Cara-cara memasak saya sertakan di sini jika anda berminat untuk mencuba.
Bahan-Bahan:
- Paru – anggaran 700 gram (versi yang saya beli ini sudah siap dipotong nipis), rebus bersama garam dan halia sehingga empuk. Gaulkan dengan garam dan serbuk kunyit, biarkan 15 minit dan goreng sehingga sedikit garing. Ketepikan.
Bahan Kisar:
- Cili Hijau Besar – 21 Tangkai
- Cili Api Hijau – 7-10 Tangkai
- Buah Tomato Hijau – 3-4 Biji
- Bawang Besar – 3-4 Labu
- Bawang Putih – 10-12 Ulas
- Halia – 1 inci
- Lengkuas – 1 inci
- Buah Keras 6-7 Biji
Semua bahan dikisar kasar.
Bahan Lain:
- Daun Limau Purut 3-4 Helai
- Serai 3-4 Batang – DiKetuk
- Serbuk Ketumbar 2-3 Sudu Makan
- Serbuk Jintan Manis 1 Sudu Makan
- Serbuk Jintan Putih 1 Sudu Makan
- Serbuk Lada Putih/Sulah 1-2 Sudu Makan
- Pes Asam Jawa Xtra Adabi 1 Sudu Makan
- Gula Perang 1 Sudu Makan
- Serbuk Perasa secukupnya
- Garam secukupnya
- Minyak Masak
Cara Memasak:
1. Masukkan semua bahan kisar ke dalam kuali dan masak tanpa minyak sehingga agak kering. Masukkan daun limau purut dan serai. Setelah air kering boleh masukkan minyak masak, gaul-gaul rata.
2. Masukkan pula semua serbuk rempah, ketumbar, jintan manis, jintan putih dan lada sulah. Masak sehingga bahan mula mengering. Masukkan gula perang, garam dan serbuk perasa secukupnya.
3. Akhir sekali, masukkan paru yang telah dioreng dan gaul rata semua bahan. Off api dan boleh dihdangkan. Selamat mencuba resepi ini.
Resepi Oleh: Roslan Eusof