Nona Manis Jagung Rasa Lemak Manis Berkrim

Nona Manis Jagung Rasa Lemak Manis Berkrim

Assalamualaikum. Hai. Ni dessert yang saya buat semalam. Lewat upload sebab siapnya pun agak lewat petang semalam. Matahari pun dah hampir terbenam & sudah tentu kalau snap gambar tak cantik jadinya.

Sebenarnya, banyak resipi nona manis yang dikongsikan kalau kita cari. Tapi, untuk yang ini, saya tak ikut cara-cara tersebut kerana saya menggunakan jagung manis dalam tin. Cara ni, lebih kurang macam buat custard. Kita kena lalui proses ‘tempering’. Cakap banyak pun tak gunakan. Tak semua orang faham. Jom tengok resipi. Sesuai jika kita gunakan bahan sebenar seperti jagung, kacang merah atau keladi. Kalau guna emulco boleh guna cara-cara yang sering penulis masakan lain kongsikan.

BTW, ini nona manis saya selepas 7 cubaan yang gagal sebelum ini. Saya pernah buat sebelum ini tetapi semuanya tak memuaskan hati. Ada yang lembik, adunan putih bercampur dan macam-macam lagi. Jadi, jangan give up kalau tak menjadi.

Bahan-Bahan serta Cara Membuat (24 Biji)

Bahan A:

  • 1 biji telur (C)
  • 1/2 cawan gula halus
  • 1 cawan santan
  • 1 cawan tepung gandum

Cara Penyediaan: Dalam bekas, satukan semua bahan. Kacau rata sehingga adunan larut dan kelihatan licin. Ketepikan.

Bahan B:

  • 1/2 cawan santan pekat
  • 1/2 cawan air + 1/4 cawan jagung manis dalam tin
  • 1/4 cawan gula halus
  • 1/4 cawan tepung jagung
  • Secubit garam
  • 1/3 sdt pewarna kuning

Cara Penyediaan:

1. Satukan air dan jagung manis dalam satu bekas. Terpulang jika mahu kisar atau tidak. Satukan bahan-bahan lain di dalam periuk dan masak dengan api sederhana hingga naik wap.

2. Ambil 1/3 adunan A, campur dengan adunan B. Kacau sampai rata. Kemudian, masukkan kesemua adunan A ke dalam adunan B. Tapis adunan. Masukkan air yang telah dicampurkan dengan jagung manis ke dalam adunan yang telah ditapis.

Bahan C:

  • 1 cawan santan pekat
  • 1 sdb tepung gandum
  • 1/2 sdt garam

Cara Penyediaan:

1. Satukan semua bahan C, kemuadian masak atas api sederhana sambil sentiasa di kacau hingga ia pekat. Tapis adunan. Apabila adunan suam, masukkan dalam botol plastik bermuncung atau beg piping supaya mudah digunakan.

2. Sementara itu kita panaskan dahulu kukusan hingga airnya mendidih. Balut tutup kukusan dengan kain supaya air pada tutup kukusan tidak menitis pada kuih. Sediakan acuan lompang yang kecil. Oleskan acuan lompang dengan minyak jagung.

3. Tuangkan adunan jagung dalam acuan lompang hingga 3/4 cawan acuan. Kemudian paipkan adunan putih di tengah-tengah adunan jagung hingga adunan naik penuh cawan lompang. Susun dalam kukusan dan kukus selama 7 hingga 10 minit. Angkat dan biarkan sejuk sebelum di keluarkan.

Nota:

  • Sediakan adunan C terlebih dahulu bagi memudahkan kerja.
  • Jangan masukkan adunan A yang mengandungi telur sekaligus ke dalam adunan B agar telur tidak masak & menjadi ‘scramble egg’.
  • Gandakan adunan untuk menghasilkan kuantiti kuih yang lebih banyak.

Guna Jagung Manis Dalam Tin Jenama Ni. Lemak Manis dan Lebih Sedap >> KLIK DI SINI

Nona Manis Jagung Rasa Lemak Manis Berkrim

Resepi Oleh: Noor Ashikin