Resipi Bubur Butir Nangka Berinti Gula Melaka

Resipi Bubur Butir Nangka Berinti Gula Melaka

Musim-msuim panas ni memang tekak teringin nak makan manisan yang sejuk-sejuk. Kebiasaan saya suka butir nangka yang membujur dan tak perlu bubuh inti. Tapi suami saya nak ada rasa gula melaka, baru la sedap katanya. Selama saya buat butir nangka, mesti dia tanya saya mana inti? kenapa tepung dia (butir) kosong je. Kali ni, saya ikut citarasa dia. Makanya butir nangka saya membulat dan ada gula Melaka.

Bahan-Bahan:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • Air (tiada sukatan sebab air perlu dituang sedikit demi sedikit)
  • Tiga perwarna (hijau, merah, dan kuning)
  • Gula Melaka – dipotong dadu kecil
  • Sekotak santan
  • Sesudu kecil halba (untuk aroma)
  • Gula kasar (mengikut citarasa kemanisan masing-masing)
  • 2 helai daun pandan.
  • Sesudu besar tepung gandum yang dibancuh air

Cara Membuat:

1. Cara menguli tepung dengan baik; Campurkan tepung pulut dan tepung gandum dalam satu mangkuk. Tuang air sedikit demi sedikit sambil tangan menggaul tepung sehingga berpasir.

2. Bila tepung menjadi berpasir dan bergumpal, berhenti tuang air. Gaulkan kesemua tepung sehingga menjadi doh yang sebati. Bahagikan doh kepada tiga bahagian.

3. Setiap bahagian dicampurkan pewarna. Saya gunakan lidi sate untuk calitkan perwarna agar cecair warna tidak tertumpah atau berlebihan. Jadi la tiga doh yang berwarna.

4. Cuit sedikit doh lalu bulatkan dan penyetkan. Letak inti gula melaka dan uli membulat semula. Jadila butir nangka bentuk bulat.

5. Rebuskan butir nangka ke dalam air yang mendidih. Pastikan ketika direbus air selalu dikacau sebab kita tak nak butir nangka kita melekat pada dasar periuk. Nanti butir nangka jadi tak cantik dan membulat.

6. Bila butir nangka dan timbul, baru angkat. Rendam di dalam air sejuk untuk mengekalkan kekenyalan butir nangka.

7. Untuk kuah pula. Panaskan secawan air di dalam periuk dan masukkan daun pandan. Masukkan gula (mengikut citarasa) dan sesudu halba. Tunggu sehingga air mendidih barulah masukkan sekotak santan.

8. Seterusnya, masukkan bancuhan sesudu tepung gandum untuk memekatkan kuah santan. Masukkan butir nangka kita ke dalam kuah santan. Reneh butir nangka pada suhu api yang kecil selama 10 minit.

9. Siap, boleh dihidang makan panas-panas atau pun boleh disejukkan dahulu. Kalau saya, saya suka makan sejuk-sejuk.

Guna Gula Melaka Asli Macam Ni Lebih Sedap dan Berkaramel >> KLIK DI SINI

Resipi Bubur Butir Nangka Berinti Gula Melaka

Resipi Oleh: Zurina Zulkefli