
Murtabak Cream Crackers Macam Lasagna Cara Malaysia
Teringat zaman kanak-kanak dulu mak pernah buat murtabak ni. Bukan selalu tapi pernahla dan masih terpahat di memori. Hari ni kita cuba buat untuk juadah Iftar bersama keluarga.
Alhamdulillah.. Sampai encik somi kata tak payah beli murtabak dah pasni. Bagi yang ingin mencuba saya sertakan resepi. Resepi asal daripada Bro Rozzan dan saya ambil daripada blog Sis Azlita Masam Manis. Saya dah ubah suai ikut selera saya sikit.
Bahan Inti:
- 400gm daging cincang
- 1 labu bawang holland (potong dadu)
- 1 batang carrot (potong dadu)
- 1 batang celery (potong dadu)
- 4 sudu besar serbuk rempah kari daging
- 3 ulas bawang putih (cincang)
- Minyak untuk menumis
- 2 cawan air
- Sedikit garam
Cara Membuat:
1. Gaul dan perap daging cincang dengan bawang putih dan rempah kari sebentar. Dalam kuali panaskan minyak, masukkan bawang holland. Tumis sebentar dan kemudian masukkan perapan daging cincang.
2. Masukkan karrot dan celery, kacau rata. Masukkan 2 cawan air, masukkan garam. Masak hingga daging empuk dan keringkan airnya. Matikan api.
Bahan Murtabak:
- 1/2 cawan susu cair
- 1/2 cawan santan
- 1/2 cawan air
- 27 keping biskut krim crackers
- Hirisan daun sup
- Hirisan cili merah
- Bawang goreng
- 8 biji telur – dikocok sebentar dengan sedikit garam
Cara Membuat:
3. Campurkan susu, santan dan air dalam periuk. Panaskan sekejap dan sejukkan. Sediakan loyang 8×8. Alaskan dengan baking paper atau aluminium foil. Celupkan 9 keping biskut dalam bancuhan susu dan susun dalam loyang.
4. Lapiskan dengan inti daging. Curahkan sedikit bancuhan telur ke atasnya. Taburkan sedikit hirisan daun sup dan cili merah. Celup lagi 9 keping biskut dan susun atas lapisan daging. Ulang proses yang sama untuk lapisan ketiga.
5. Susun lapisan biskut yang terakhir. Curahkan baki telur ke atas biskut dan biarkan sebentar dalam 5 minit. Panaskan dengan suhu oven 180c. Masukkan murtabak dalam oven dan bakar selama 40 minit.
6. Akhir sekali, keluarkan dari oven dan sejukkan sebentar barulah keluarkan daripada loyang. Hiaskan dengan sos cili, mayonis, hirisan daun sup, cili merah dan bawang goreng.
Resepi Oleh: Nor Sunatis