
Cara Masak Resepi Kari Ikan Yogurt
Anak kakchik memang suka makan kari. Jadi seminggu sekali wajib masak lauk kegemaran mereka. Dulu, rasa payah sangat masak kari. Alhamdulillah sekarang dah pandai dah.
Biasa masak kari bubuh santan kan? Kali ini kakchik cuba masak kari guna yogurt. Kari versi sihat namanya. Jom masak Kari Ikan Yogurt.
Bahan-Bahan:
- Ikan kacang/ikan kegemaran anda
- 1 sdt halba campur
- 1 biji tomato – potong kecil
- 1 paket serbuk kari ikan
- 1 kotak kecil yogurt asli fernleaf
- bawang merah dan bawang putih kisar
- asam keping
- daun kari
- garam/gula
- sedikit air
Cara Memasak:
1. Mula-mula panaskan minyak. Masukkan daun kari dan 1 sdt halba campur. Wajib bubuh halba campur. Barulah kari ikan kita lebih sedap. Kalau kari ayam atau daging tak perlu bubuh rempah campur ini.
2. Goreng daun kari dan rempah sampai naik bau. Bubuhkan tomato sebiji yang telah kita potong kecil. Ini kita nak naikkan perisa pada kari kita supaya lebih sedap dan pekat.
3. Bila tomato dah agak layu, masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah dikisar halus. Tumiskan semua bahan, masukkan serbuk kari. Kacau-kacaukan supaya semua bahan bercampur.
4. Tumis sampai semua bahan tadi naik minyak. Nampak dalam kuali semua bahan dah naik bau wangi. Lepas tu terpisah bahan tumis dengan minyak. Gunakan api kecil tau. Kang hangus tak sedap. Masa ini memang bau wangi yakmat. Berjoget cacing dalam perut.
5. Masukkan asam keping untuk rasa masam-masam manis. Masam tu awak, manis tu saya. Gituh. Kemudian, masukkan air secukupnya.
6. Masukkan ikan pilihan. Kakchik guna ikan kacang. Beli di peraih ikan segar dalam kampung. Sekilo rm 8 sahaja. Murah dan sedap ikannya. Segar dah tentu.
7. Biarkan kuah mendidih, bila ikan dan masak. Masukkan yogurt asli. Jangan guna yogurt perisa mangga pula. Kacau-kacaukan ya biar semua mesra. Takde masam pun kari kita. Rasa lemak lemak sedap saja.
8. Perasakan dengan garam dan gula ikut selera ya. Matikan api. Dah boleh hidangkan nasi.
Tada. Dah siap, panggil anak-anak makan. Kalau si abang tu memang dari menumis tadi dah sibuk tanya bila boleh makan. Hahaha. Begitulah. Kalau ada sambal belacan dan ulam memang lancar 3 pinggan nasi.
Resepi Oleh: Umi Watie