
Resepi yang saya belajar dari seorang kawan yang berasal dari Kemboja. Resepi ni untuk 50 biji, so kalau nak buat sikit agak-agak la sukatan ye (1 peket kulit popia dapat 50 biji).
Cara Buat Popia Kemboja
Bahan-Bahan:
- 1 peket kulit popia
- 3 biji bawang besar
- 2 biji bawang putih
- 2 sudu lada hitam
- 3 sudu sos ikan
- 5 biji kentang
- 2 biji carrot (diparut halus)
- 1 peket ayam cincang
- 1 peket suhun
- garam & gula

Cara Buat:
1. Tumis bawang besar, bawang putih & lada hitam yang ditumbuk halus (tak sedap kalau diblend, lagi sedap ditumbuk).
2. Bila dah garing, masukkan isi ayam (resepi asal ada guna udang yang dihancurkan tapi saya tak letak udang. Kalau tak suka ayam boleh ganti dengan daging hancur tapi lagi sedap guna ayam.
3. Bila ayam dah masak, masukkan 3 sudu sos ikan (lagi sedap guna sos sotong tapi susah nak jumpa, saya tukar sos ikan. Kalau tak letak sos ikan nanti kurang rasa aroma dia).

4. Masukkan kentang yang dipotong dadu (pastikan potongannya halus, lebih halus dari inti karipap supaya kentang cepat masak). Masakkan kentang sehingga lembut.
5. Setelah kentang lembut, masukkan suhun yang direndam di dalam air terlebih dahulu (suhun di potong 3 supaya takde lah besar-besar sangat nanti nak makan).
6. Masukkan garam, gula, dan perasa. Garam jangan letak banyak sebab sos ikan dah masin.

7. Setelah inti siap dimasak, tutup api dan taburkan carrot yang telah diparut. Bolehlah digulung dalam kulit popia.
8. Masukkan inti dalam kulit popia dan gulungkan. Satu sudu penuh untuk satu kulit popia. Sukatan resepi ni memang cukup-cukup untuk 50 pcs kulit popia. Buat banyak-banyak boleh frozenkan.
9. Goreng popia yang telah digulung sehingga masak. Kalau orang Kemboja dia tak makan dengan sos, memang kosong camni je tapi saya buat sos cili sendiri, macam sos cucur udang tu.

Resepi Oleh: Fauzana Ismail