
Assalamualaikum. Kalau diikutkan, Char Kuey Teow (CKT) yang sebenar cuma kuey teow goreng kering yang biasa tu saja. Jadi, yang ini saya namakan CKT Malay style. Tak kisahlah apa pun namanya, asalkan bersih, halal dan sedap dimakan.
Kali ini, saya sediakan sekali sosnya. Sedap dan berbaloi jika nak makan beramai-ramai. Rahsia kesedapannya sudah tentulah pada penggunaan stok udang dalam sos dan ketika menggoreng CKT tu sendiri. Kalau teringin, bolehlah cuba nanti.
Resepi Char Kuey Teow Stail Melayu
Bahan-Bahan (5 hidangan):
- 450g (1 mangkuk) kuey teow basah halus
- 1 biji bawang besar *
- 3 ulas bawang putih *
- 10 tangkai cili kering * (rebus dan buang biji)
- ½ cawan (6-8 sdb) sos char kuey teow
- 1 cawan stok udang
- 1 mangkuk udang, kerang dan sotong
- 1 mangkuk hirisan daun kucai dan tauge
- 3 biji telur
- Garam secukup rasa
Cara Penyediaan:
1. Kisar bahan-bahan bertanda *. Panaskan kuali. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan sos char kuey teow dan kuey teow halus. Kacau rata. Masukkan pula stok udang, udang, kerang dan sotong. Perasakan dengan garam dan biar seketika sehingga masak.
3. Akhir sekali, masukkan hirisan kucai, tauge dan telur. Kacau hingga bergaul rata. Sedia untuk dihidangkan bersama jeruk cili.

Sos Char Kuey Teow
Bahan-bahan (1½ cawan sos):
- Kepala dan kulit udang (dari udang char kuey teow)
- 2 cawan air
- 4 ulas bawang putih (kisar)
- ¼ + ⅛ cawan (6 sdb) sos tiram
- ¼ cawan (4 sdb) kicap lemak manis
- ¼ cawan (4 sdb) kisap masin
- 2 sdb petis udang
- 1 sdb gula pasir
- 1 sdt garam
Cara Penyediaan:
1. Kisar kepala dan kulit udang dengan 1 cawan air. Masukkan ke dalam periuk dan tambahkan lagi dengan 1 cawan air. Didihkan.
2. Setelah mendidih, tapis dan ambil air rebusannya sahaja. Asingkan 1 cawan untuk memasak CKT. Campurkan kesemua bahan bersama dengan baki air air rebusan udang yang telah ditapis.
3. Didih dan reneh campuran sos sehingga menjadi sedikit pekat. Sejukkan dan sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.
Nota: Sediakan sos CKT terlebih dahulu dan simpan di dalam peti sejuk untuk kegunaan pada masa akan datang.

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah