Cara Buat Acar Ikan Talang Masin

Cara Buat Acar Ikan Talang Masin

Sebelum ni, seumur hidup 35 tahun ni tak pernah masak acar jenis camni. Sebab tak minat makan. Masa tu kenal acar buah je. Terbayang rasanya yang kadang-kadang agak terlampau manis. Sampai la 2 bulan lepas join kelas acar ni. Baru tau acar ni boleh dipelbagaikan.

Bulan lepas, gigih la beli bahan semua sebab nak cuba masak dan makan acar ikan masin ni. Bila dah siap masak, tanya suami. Ok tak? Dia kata ok sedap. Lepas tu bagi kawan-kawan rasa. Alhamdulillah semua kata ok dan sedap. Saya pon beranikan diri jual kepada penduduk taman, shopee dan lazada. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan dan jadi pendapatan tambahan.

Tapi saya ubah sikit dari resipi asal mengikut citarasa saya. Saya tak masukkan rempah dan halia hiris. Halia just masuk dalam bahan tumisan je. Ade yang suka acar yang takda rasa rempah?
Bawang tu saya rendam dalam air untuk memudahkan proses kupas kulit dan kurangkan pedih mata. Tapi jenuh jugak sebenarnya nak kupas banyak-banyak tu.

Syarat nak masak acar ni senang je. Minyak kena banyak dan guna air sikit je masa kisar bahan. Tumis betul-betul kering. Baru la acar tahan lama.

Bahan A:

150g cili kering – basuh dan kisar halus. Gunakan air yang sedikit masa kisar.

Bahan B:

  • 2-3 biji bawang besar
  • 15 ulas bawang putih
  • Halia saiz 3 jari lebih kurang atau 50g

Semua bahan dikisar halus.

Bahan C:

  • Bawang merah kecik – anggaran 400g. Kalau suka lebihkan.
  • Bawang putih – dalam 5 labu
  • Cuka 100 – 150 ml. Jangan banyak-banyak nanti bau cuka kuat

Rendam bawang merah & putih dengan cuka lebih kurang 30 – 45 minit. Gaul-gaulkan biar sekata sebab cuka sikit, bawang banyak.

Bahan D:

  • Kismis golden raisin – 300g
  • Lobak masin – 200g potong kecik-kecik
  • Buahan kering – 200g. Saya guna 1 jenis je. Buah prune. Basuh dan tos.
  • Bijan – 50g
  • Gula – 300g kalau suka manis boleh lebihkan lagi.
  • Garam – dalam 1 sudu kecik. Tak letak pon takpe sebab ikan masin dah masin
  • Isi Ikan masin talang/kurau/malong – 300g potong ikut suka. basuh, goreng dan ketepikan

Bahan E:

  • Cili api merah dan hijau
  • 1/2 peket minyak masak untuk menumis. Minyak goreng ikan masin kalau masih elok boleh juga tapis dan guna.

Cara Membuat:

1. Tumis kesemua Bahan B sehingga naik bau. Kemudian, masukkan bahan A dan tumis lagi hingga pecah minyak.

2. Masukkan rendaman bawang merah dan bawang putih beserta cuka sekali. Biarkan seketika. Masukkan pula bahan D dan kacau hingga rata.

3. Biarkan bahan sehingga agak kering tapi jangan terlalu kering. Ini bagi memastikan acar tahan lama. Rasa dan sesuaikan masin manis.

4. Akhir sekali, masukkan Bahan E, cili api merah dan hijau dan biarkan sebentar. Jangan sampai layu sangat. Nanti cili akan layu sendiri. Siap dan selamat mencuba.

Cara Buat Acar Ikan Talang Masin

Resepi Oleh: WaNi TuHit