Ayam Milani ala Restoren Kapitan Penang
Aduh! Tiba-tiba mengidam nak makan Ayam Milani di Restoran Kapitan, Penang. Siapa pernah makan? Sedap, kan? Sebab tak boleh ke Penang, kita ke dapur!
Bahan-Bahan:
- 1/2 ekor ayam
- 1 biji bawang merah
- 1-2 ulas bawang putih
- 1 cubit serbuk kunyit
- 1 cubit serbuk jintan manis
- 1 cubit serbuk ketumbar
- 4 sudu mentega
- 1/2 cawan susu segar
- 2 sudu keju (atau sekeping)
- Garam secukup rasa
Nota: Sebenarnya, paling sedap jika gunakan ayam bahagian pinggul dan peha, yang telah dibuang tulang stail chicken chop. Kalau tak ada, gunalah apa yang ada.
Cara Memasak:
1. Bawang putih dan bawang merah ditumbuk, atau boleh dikisar sesama dengan serbuk kunyit, ketumbar dan jintan manis ni. Saya nak letak air sedikit untuk kisar, tapi kerana leka menyanyi, termasukkan susu pula. Nasib baik tak banyak susu yang termasuk tu. Jadi redah sahaja, kisar.
2. Bahan kisar ni kita gunakan untuk perap ayam. Guna sikit sahaja, selebihnya kita nak guna buat kuah Milani. Saya tambah sikit serbuk paprika (smoked) sebab nak biar ayam tu ada pedas sikit dan rasa smokey. Letak garam, dan perap ayam ni 1-2 jam.
3. Di Restoran Kapitan, Ayam Milani ni dihidang dengan beberapa cara, sama ada dengan nasi biryani, roti naan, atau jejari kentang goreng. Saya mudah maka pilih untuk hidang dengan kentang. Sementara tunggu ayam diperap, bolehlah goreng kentang.
4. Lepas goreng kentang, bolehlah kita goreng ayam. Nak bakar atau panggang pun boleh, lagi sedap. Selepas goreng, ketepikan ayam sebentar. Kita nak buat kuah dia. Kita cairkan mentega, kemudian tuang bahan yang kita kisar tadi. Tumis sampai naik bau. Pastikan bawang dan serbuk tu semua masak, dan pecah minyak.
5. Tuang susu segar. Kalau nak guna susu sejat pun boleh. Tuang sikit-sikit. Kalau tak cukup berlemak, tambah lagi. Ini tak wajib. Jika suka kuah Milani yang cheesy, maka letaklah. Jika tak suka terlalu cheesy, takut muak, maka tak payah letak. Lepas masukkan keju, perasakan dengan garam dan gula ikut citarasa masing-masing. Siap! Jom hidang.
6. Tada! Saya mempersembahkan, Ayam Milani dengan jejari kentang goreng keemasan! Ada roti naan, tapi terlupa nak letak sekali dalam pinggan masa ambil gambar.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan