Masakan Barat

Resepi Chicken Chop Rangup Tanpa Salut Tepung

resepi-chicken-chop-rangup-tanpa-salut-tepung

Resepi Chicken Chop Rangup Tanpa Salut Tepung

Selalu chicken chop yang salut tepung, kan? Hari ni kita tengok cara buat yang kulit dia rangup, tanpa perlu salut tepung. Malah tak perlu pakai minyak langsung. Bahan pun sikit sahaja.

Crispy Skin Chicken Chop with Mushroom Gravy

Bahan-Bahan: (2 orang makan)

  • 2 potong ayam (bahagian pinggul dan peha)
  • 50-100ml krim masakan
  • 5 biji cendawan
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 sudu mentega
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuat:

1. Guna bahagian paha dan pinggul ayam. Saya dah belah bahagian bawah (dalam) dan buang tulang dia. Kalau tak pandai buang, boleh suruh penjual ayam potong. Beritahu je “Bang, potong untuk chicken chop!”.

2. Saya dah buang tulang di hujung paha tu sekali. Ayam ni kena lap dengan tisu supaya dia kurang basah. Lepas tu tabur garam dan lada hitam secukup rasa.

3. Panaskan kuali leper guna api sederhana selamat 1 minit. Paling sesuai kalau guna “cast iron skillet”, kalau tak ada, boleh guna kuali yang stainless steel, atau non-stick.

4. Kemudian masukkan ayam. Kulit di bahagian bawah. Api sederhana. Tak payah guna minyak. Nanti lemak ayam akan cair dan jadi minyak. Proses ini dinamakan “fat rendering”.

5. Lemak yang cair tu akan turun ke bawah dan sekeliling ayam. Ia akan kelihatan mengering. Jangan panik. Jangan cuba angkat ayam. Pada waktu ni, kulit ayam sedang melekat pada kuali.

6. Teruskan masak. Biar sahaja. Proses ini memakan masa 20 minit. Sepanjang ini, guna api perlahan atau sederhana. Jangan risau, ayam tak akan hangus. Jangan risau pasal ayam melekat.

7. Setelah cukup 20 minit, baru periksa sama ada kulit ayam dah lekang dari kuali atau belum. Kalau belum sambung lagi masak. Ayam akan lekang sendiri bila kulit dia dah cukup rangup.

8. Bila dah rangup, dia lekang sendiri. Kuis sikit dan angkat je. Mudah sahaja nak tanggalkan dari kuali. Masa ni kulit ayam saya dah rangup. Jadi macam keropok, tapi tak hangus pun walaupun masak selama 20 minit.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Homemade Nasi Arab Ayam Panggang

9. Terbalikkan, dan masak bahagian bawahnya pula. Ini ambil masa 1-2 minit sahaja. Kalau dah tak merah dagingnya, kira dah masak. Angkat dan rehatkan dalam pinggan.

10. Kerak ayam dalam kuali ni, kita nak buat jadi kuah dia. Masukkan bawang putih yang disagat dan mentega. Biar mentega cair dan tumis bawang putih dengannya sampai naik aroma.

11. Masukkan air 1-2 senduk, dan cuba kikis kerak ayam ni perlahan-lahan. Ia akan tanggal dengan mudah. Kerak inilah sumber rasa ayam yang padu! Tak payah guna serbuk perasa ayam dah.

12. Kemudian masukkan krim masakan. Gaul rata. Kalau tak ada krim masakan, boleh guna susu sejat atau susu segar. Tambah garam dan gula jika perlu. Ikut citarasa masing-masing.

13. Akhir sekali masukkan cendawan yang telah dihiris. Gaul sebati. Boleh guna cendawan tin atau cendawan segar. Gunalah cendawan butang, cendawan portobello, atau shitake segar.

OK dah boleh hidang! Saya selalu letak kuah dibawah sebab tak nak kulit ayam yang rangup tu jadi lembut sebelum dimakan. Kulit rangup tu mahal. Boleh hidang dengan kentang goreng jika suka.

Resepi Chicken Chop Rangup Tanpa Salut Tepung

Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan