Resipi Thai Milk Tea Crispy Cream Puff

Resipi Thai Milk Tea Crispy Cream Puff

Resepi ni panjang sebab banyak tips. Kalau malas baca, beli jer dik, ramai yang jual..hehehe. Walau apa pun nama tergeliat lidah yang hampa penah dengar untuk dessert ni, bendanya dari adunan sama. Baik cream puff, profitorole, japanese crispy cream puff, choux au craquelin, croquembouches, Paris breast, mahupun eclairs, semuanya berasaskan choux pastry atau ada yang panggil pastry minyak panas.

Cara buatnya senang – gelegakkan air dan butter, masukkan tepung, pastu telur. Dah siap adunan, paip atas loyang, bakar. Lepas sejuk paipkan cream. Tu ja. Kalau yang atasnya rangup dan crispy kita letakkan adunan campuran butter, gula dan tepung. Adunan rangup tu diberi nama craquelin. Nama macam glam kan? Tapi benda dia sama ja. So jangan panik dik. Buat lekk. Meh saya bagi resepi sempoi dan cara mudah buat crispy cream puff ni.

Resepi ni sesuai untuk yang acah-acah manja nak buat dessert kat keluarga. Eh! tapikan nak jual pun boleh ni. Senang yakmat. Satu resepi dapat dalam anggaran 30 biji saiz bola ping pong. Kalau buat lagi comel, lagi la banyak dapat. Apa kita kena buat?

  1. Cream Thai Milk Tea
  2. Benda hat rangup dan kedut atas cream puff tu. Kita panggil Cik Kedut la nooo. Senang nak ingat.
  3. Cream puff

DUA Peralatan penting kena ada:

  1. Penimbang. Tak boleh agak-agak sebab timbangan kena tepat. Tak kisah la hat jarum ka atau digital. Hari tu Lazada ada buat sale. RM9.9 ja. Tu Laaaa, sapa suruh tak beli. Kena tunggu anniversary dia tahun depan la pulak.
  2. Hand Mixer. Beli hat murah-murah pun tak pa. Kena la ada. Nak pukul cream sampai kembang dik. Tak boleh guna garfu.

Ni resepinya;

Cream Thai Milk Tea

Bahan A:

  • 4 kuning telur gred A
  • 80 gm gula pasir halus
  • 30 gm tepung jagung

Bahan B:

  • 380 gm full cream milk
  • 4 sudu besar serbuk Thai Milk Tea

Tak dak kalu… Pakai jer lah apa-apa teh yang ada kat rumah anda. Teh Ahmad, teh lipton, teh halia, teh misai kucing, teh kurus, apa-apa teh lah.. Hahaha.

Bahan C:

  • 1/2 sudu teh vanila

Cara Membuat:

1. Sebatikan gula dan kuning telur. Kacau seminit dua. Masukkan tepung jagung. Sebatikan sampai tak berketul- ketul. Okeh, dah. Ketepikan.

2. Masukkan bahan B dalam periuk. Gelegakkan. Api slow. Tapis masuk ke dalam adunan A. Kacau. Lepas tu, kacau semula adunan ni atas api perlahan sampai pekat-pekat manja. Tak pekat sangat tak cair sangat. Masukkan vanilla. Tutup dengan plastik dan SEJUKKAN dalam peti sejuk sekurang kurangnya 2 jam. Nak cepat letak dalam tempat beku 45 minit.

3. Inilah yang dinamakan PASTRY CREAM. Nak senang faham panggil jer CUSTARD CREAM. Macam mana nak jadikannya cream Thai Milk Tea? Senang ja, campurkan CUSTARD CREAM ni dengan FRESH CREAM atau ibu-ibu di rumah panggil WHIPPING CREAM.

Bahan-Bahan: 400 gm FRESH CREAM – Saya guna brand value pride.

Cara Membuat: Pukul fresh cream sampai kembang dan gebu. Sampai stiff pun tak dak hal. Campurkan CUSTARD CREAM tadi. Pukul sebati. SIAP cream Thai Milk Tea kita. Simpan dalam peti sejuk.

Cik Kedut

Bahan A:

  • 90 gm butter @ margarine
  • 100 gm gula pasir halus

Bahan B:

  • 100 gm tepung gandum (pakai jer apa-apa cap pun, tak dak hal)

Cara Membuat:

1. Bahan A tu kacau dengan sudu pun boleh. Kacau sampai warna pucat dalam 2 minit. Tak yah risau kalau gula tak larut. Masukkan tepung. Sebatikan. Akan jadi adunan yang lembut. Anda akan rasa gula ketul-ketul. Tak pa. Tak dak hal.

2. Ratakan atas plastic. Tekan guna tangan ja. Kalau rajin guna pencanai. Tebal lebih kurang tebal duit syiling lima kupang. Tebal lebih pun tak dak hal lah. Semua tak dak hal. Jangan stres. Simpan dalam FREEEEZERRR – tempat beku. Sampai keraih.

Okeh Cik Kedut siap. Kita buat Cream Puff;

Bahan A:

  • 180 air paip/air masak
  • 75 gm butter/margarine
  • 1/4 sudu teh Garam

Bahan B:

  • 110 gm tepung gandum cap apa pun tak pa

Bahan C:

  • 3 biji telur gread A (pecahkan dan kocok sikit dengan garfu untuk sebatikannya)

Cara Membuat:

1. Gelegakkan bahan A. Slowkan api. Masukkan tepung. Kacau sampai adunan tidak berketul dan berkilat. Tutup api.

2. Biar adunan suam baru masukkan telur sedikit demi sedikit sambil kacau adunan dengan senduk setiap kali masuk telur tu. Kalau tak larat boleh guna mixer. Tapi tak perlu pun sebab adunan ni sikit ja. Kacau sampai adunan tidak berketul, nampak berkilat dan smooth bak sutera Thai.

3. Masukkan ke dalam piping bag dan paip ikut besar yang anda nak. Jarakkan sebab ia akan kembang semasa bakar. Ambik adunan Cik Kedut tadi, terapkan bulat dan letakkan atas adunan cream puff. Tak dak penerap bulat, potong empat segi pun boleh.

4. Bakar pada suhu atas bawah 180c hingga 200c. Ikut oven masing-masing. On kipas kalau oven ada kipas. Lagi lawa cream puff anda. Bakar selama 30 hingga 35 minit. Kalau anda nak CIK KEDUT lebih garing, lebihkan sedikit masanya.

5. Sejukkan sebelum paip cream ke dalamnya. Paip dari bawah sampai anda rasa isinya penuh. Sejukkan sekurang-kurangnya 2 jam dalam peti sejuk sebelum makan. Barulah kick! Nikmat tak TERZAHIR dengan kata-kata!. Selamat Mencuba. Sila share. Tak perlu mohon keizinan.

Guna Serbuk Thai Milk Tea Macam Ni Barulah Rasa Sedap >> KLIK DI SINI

Resipi Thai Milk Tea Crispy Cream Puff

Resipi Oleh: Zalina Yahaya