Resipi Kerutuk Daging Guna Daging Batang Pinang
Assalamualaikum wbt warga dan sahabat.Saya ingin berkongsi resepi yang saya masak untuk santapan kami sekeluarga, Kerutuk Daging dengan resepi mengikut selera dan citarasa sendiri. Saya masih teringat kesedapan Kerutuk Daging yang saya makan di warung mok long di Kijal, Terengganu semasa bercuti di sana tempohari. Berikut ada resepi dan cara-cara memasak jika anda berminat untuk mencuba.
Bahan-Bahan:
- Daging – saya guna daging segar bahagian Batang Pinang – anggaran 1 Kg
- Serbuk Rempah Campur (Gaul Dengan Air untuk jadikan Pes) – 2 Sudu Makan Serbuk Rempah Sup/Kurma, 1 Sudu Makan Serbuk Ketumbar, 1 Sudu Makan Jintan Manis, 1 Sudu Makan Jintan Putih
- Pes Asam Jawa Adabi – 1-2 Sudu Makan
- Rempah 4 Sekawan
- 1 Peket Santan
- Gula Melaka – 2 Biji Kecil
- Kerisik – 2 Peket Kecil
- Garam secukupnya
Bahan Untuk Menumis:
- 1 Labu Bawang Besar
- 5 Ulas Bawang Putih
- 2 inci Halia
- 2 Tangkai Serai
- Minyak Masak
Bahan Kisar:
- 15-20 Tangkai Cili Kering Kerinting
- 5-7 Tangkai Cili Kering Gemuk
Gunting dan buang biji, rendam dalam air panas 1 jam
- 2 Labu Bawang Besar
- 5-7 Ulas Bawang Besar
- 1-2 inci Halia
- 1-2 inci Lengkuas
- 1-2 Biji Kunyit Hidup
Kisar semua bahan-bahan di atas.
Cara Memasak:
1. Panaskan minyak masak dan masukkan bahan menumis dan rempah 4 sekawan. Tumis sehingga bawang bertukar warna keperangan. Masukkan bahan kisar dan tumis 5-10 minit dengan api sederhana sebelum memasukkan rempah campur yang dijadikan pes. Tumis atau masak sehingga garing atau pecah minyak.
2. Seterusnya masukkan gula melaka dan masak sehingga gula melaka “dissolved” atau cair. Masukkan daging dan gaul rata. Tutup periuk dan biarkan masak anggaran 10 Minit, dikacau sekali-sekala.
3. Masukkan santan dan pes asam jawa. Masak sehingga mendidih sebelum memasukkan kerisik. Gaul dan kacau-kacau. Tutup periuk dan biarkan masak sehingga memekat dan daging empuk.
4. Akhir sekali masukkan garam secukupnya. Jika ada cili merah atau hijau, belah sedikit dan boleh masukkan. Pastikan daging cukup empuk sebelum tutup api.
5. Kerutuk Daging siap untuk dihidangkan. Saya juga sediakan nasi minyak, ayam goreng berempah dan acar timun, nanas, tomato cherry, bawang serta cili untuk dipadankan dengan Kerutuk Daging. Selamat Mencuba.
Boleh Dapatkan Rempah Gulai Kerutuk Ni, Cepat dan Mudah >> KLIK DI SINI

Resipi Oleh: Roslan Eusof


