Resipi Daging Dendeng Mudah ala Khairul Aming
Daging dendeng pertama saya. Menu ni merupakan salah satu menu yang ada dalam ‘to-do-list’ adik saya untuk saya masak. Sebelum ni, adik saya pernah beli daging dendeng Khairulaming dan dia sukakannya. Cuma daging dendeng yang dia beli tu merupakan versi yang pertama dan pihak Khairulaming masih belum ‘adjust’ resipi mereka serta rasanya sedikit manis. Jadi, dia ‘request’ supaya saya masakkan daging dendeng sama seperti produk keluaran Khairulaming dengan sedikit pengubahsuaian.
Walaupun pada ketika itu mulut saya berkata ,”Boleh sangat. Benda mudah je nak masak. Small matter je tu” tapi dalam hati saya berkata, “Eh budak ni, macam-macam pulak syaratnya”. Dia nak hasil daging dendeng yang dimasak tidak terlalu kering atau basah, tidak terlalu pedas, tidak terlalu manis, potongan daging yang tidak tebal dan dagingnya mesti ‘melt in mouth’ sama sebiji seperti daging dendeng Khairulaming.
Sebagai seorang yang susah untuk menghampakan permintaan daripada orang lain, saya pun baca beberapa resipi daging dendeng dengan teliti dan menonton beberapa video untuk menyediakannya. Akhirnya, saya gabungkan resipi daging dendeng hasil perkongsian Khairulaming dan Che Nom untuk menghasilkan daging dendeng versi saya.
Setelah selesai memasak, saya panggil adik saya untuk merasa jika ada apa-apa lagi yang terkurang dari segi rasa. Perkataan pertama yang keluar dari mulut dia, “YUMMY”. Perkataan kedua pula, “Enak, enak. Daging dia melt in mouth. Macam ni la yang kita nak”. Thank god. Alhamdulillah. Allah permudahkan urusan saya. Perasaan saya pada ketika itu, puas hati, sama seperti perasaan yang mak-mak di luar sana rasa apabila anak-anak, suami dan keluarga memuji hasil masakan mereka. Hilang segala rasa penat memasak.
Kami makan daging dendeng ini bersama dengan nasi putih dan untuk sayurnya pula, saya masakkan menu kegemaran kami berdua iaitu masak lemak putih labu dengan bayam. Seperti biasa, saya kena kawal nafsu makan walaupun rasa seperti hendak menambah nasi. Tak apalah. Jika panjang umur, lain kali, setelah saya capai berat yang disasarkan, saya masak lagi dan pada ketika itu bolehlah saya makan dengan sepuas hati tanpa risau jika berat badan naik kembali. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan:
- 1 kg daging
- Air secukupnya
- 1/2 cawan kicap manis
- 12 ulas bawang kecil/ 4 labu bawang besar*
- 8 ulas bawang putih*
- 2 inci halia*
- 15 tangkai cili kering*
- 2 batang serai*
- 2 batang serai (carik)
- 2 cawan air rebusan daging
- 1/2 cawan kicap manis
- 1/2 cawan kicap masin
- 4 helai daun limau purut
- 10 biji cili padi merah (pilihan)
- 10 ulas bawang kecil (untuk dijadikan bawang goreng)
Cara Penyediaan:
1. Masukkan daging yang telah dibersihkan dan air secukupnya ke dalam periuk atau periuk tekanan. Rebus daging sehingga empuk. Setelah daging empuk, keluarkan dari air rebusan, sejukkan dan hiris nipis. Tumbuk daging dengan menggunakan lesung batu supaya ia menjadi lebih nipis. Simpan sedikit air rebusan daging.
2. Gaulkan daging yang telah ditumbuk dengan kicap manis. Perap seketika (saya perap semalaman). Kisar bahan-bahan yang bertanda (*). Panaskan minyak masak secukupnya. Goreng daging yang telah diperap seketika sehingga kelihatan sedikit kering. Angkat dan ketepikan.
3. Tumis bahan kisar dan serai sehingga kering dengan menggunakan lebihan minyak gorengan daging. Masukkan air rebusan daging, kicap manis, kicap masin dan daun limau purut. Biarkan seketika sehingga cecair tinggal 1/2 dari isipadu asal.
4. Masukkan daging yang telah digoreng dan cili padi. Kacau rata. Biarkan cecair mengering (mengikut kesukaan masing-masing) dan daging masak sebati bersama dengan bahan-bahan yang lain. Perasakan dengan garam jika perlu. Akhir sekali, taburkan dengan bawang goreng. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.
Nota: Saya goreng bawang dengan menggunakan ‘air fryer’ pada suhu 120C selama 15-17 minit. Kuis-kuiskan bawang goreng setiap 5 minit.
Ramai Yang Dah Cuba Daging Dendeng Ni Juga, Memang Sedap! >> KLIK DI SINI

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah


