Ikan, Makanan Laut

Resepi Sup Ikan Thai Penuh Aroma Herba

resepi-sup-ikan-thai-penuh-aroma-herba

Resepi Sup Ikan Thai Penuh Aroma Herba

Cara masak Sup Ikan Ala Siam yang ‘segar’ dengan aroma-aroma herba dan tak hanyir.

Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ikan jenahak/merah saiz sederhana
  • 2 biji tomato dibelah 4 – 8
  • 1 sup bunjut Adabi
  • 1 pokok daun ketumbar, cuci bersih dengan akarnya sekali
  • 2 helai daun limau purut
  • 5-10 cili api
  • 1 biji limau nipis, perah jusnya
  • 1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Hirisan daun ketumbar, untuk hiasan
  • Hirisan limau nipis, untuk hiasan

Bahan Tumis:

  • 3 batang serai, diketuk
  • 1 batang kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Bahan Tumbuk/Mesin:

  • 7 biji bawang merah kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1/2 inci kunyit hidup

Cara Memasak:

1. Bahan-bahan tumbuk ditumbuk atau dimesin pun boleh. Ditumbuk lebih sedap, cik tie blend kering sahaja.

2. Ikan dibersihkan, kemudian kerat kepada beberapa bahagian. Bersihkan ikan dengan sedikit perahan limau nipis untuk hilangkan hanyir. Kemudian, bilas ikan sehingga bersih.

3. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan bahan-Bahan tumis hingga harum. Masukkan bahan-bahan tumbuk dan kacau rata. Tuang air secukupnya kacau dan biarkan mendidih.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Sotong Salted Egg

4. Masukkan sup bunjut dan akar daun ketumbar, biarkan seketika. Kemudian, tambahkan lada hitam. Masukkan pula kepala ikan dan daun limau purut. Kacau rata dan biarkan mendidih hingga ikan masak.

5. Akhir sekali, tambah jus limau nipis, tomato dan cili api, perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan sedikit gula. Kacau perlahan seketika. Matikan api. Taburkan hirisan daun ketumbar dan hirisan limau nipis sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!.

Resepi Sup Ikan Thai Penuh Aroma Herba

Resepi Oleh: Khadijah Jaafar