Resepi Sambal Tumis Sardin Memang Menambah Selera

Resepi Sambal Tumis Sardin Memang Menambah Selera

Setiap kali kawan-kawan di kilang emak hendak buat makan-makan, mereka mesti minta emak buat sambal tumis sardin. Kalau emak masak sambal tumis sardin di rumah, mesti masak banyak kerana banyak peminat dan seolah-olah tak ada lauk lain di rumah. Semua tuju sambal tumis sardin emak, termasuk si bujang kecil saya.

Baru-baru ni saya buat semacam donat (tak tahu apa sebenarnya, main campak-campak) dan emak suka. Kata emak, “Lain kali cek buat kuih ni, mak buat sambal sardin, sedap cicah.” Pagi ni, masuk dapur terus letak nasi dan buka dua tin sardin.

Emak tak ada, tapi resipi sudah diturunkan. Saya kongsi semoga menjadi jariah untuk kami.

Bahan-Bahan:

  • 2 tin sardin
  • 2 sudu makan asam jawa biji
  • 1 1//2 biji bawang
  • 3 sudu makan serbuk cili/cili kering secukup rasa

Cara Memasak:

1. Sardin diasingkan daripada sos dan dibuang tulang. Jika tidak mahu buang tulang pun boleh tapi emak buang tulang. Perlahan-lahan supaya sardin tidak patah, ya. Jika patah juga tidak mengapa. Sos simpan sebab akan guna sedikit kemudian.

2. Mesin sebiji bawang besar dengan cili. Goreng sardin yang sudah dibuang tulang. Hati-hati! Meletup. Ketepikan sardin yang sudah digoreng. Dengan minyak yang sama bekas goreng sardin, tumis cili + bawang mesin. Jangan bimbang bahagian-bahagian garing bekas goreng sardin, semua itu menambah rasa. Kacau-kacau supaya sekata dengan sambal. Konsep deglaze.

3. Masak sampai pecah minyak. Jadi lubang-lubang ketam, kata emak. Tambah, 4 sudu makan sos tomato dari tin sardin. Tak mahu banyak supaya tidak ganggu rasa sambal tumis. Kemudian, masukkan 2 sudu makan jus asam jawa, 3 sudu teh garam, dan 2 sudu makan gula. Kacau-kacau dan biar pecah minyak.

4. Tambah 2 sudu makan kicap lemak manis untuk warna. Jika nak lebih gelap, boleh letak lebih dan sesuaikan rasa masin, masam, manis ya. Tambah 1/2 biji bawang besar yang dihiris nipis. Masak sehingga bawang layu.

5. Akhir sekali, masukkan sardin goreng. Kacau perlahan supaya sambal menyalut sardin. Siap sambal tumis sardin. Pedas, pekat, berpalut. Makan dengan nasi panas-panas. Hendak lebih umph, tambah telur dadar, telur masin atau ikan masin dan timun sejuk-sejuk. Jom, makan. Bismillah.

Kalau Makan Bersama Sambal Hijau Minang Ni, Lagi Bertambah Nasi >> KLIK DI SINI

Resepi Sambal Tumis Sardin Memang Menambah Selera

Resepi Oleh: Siti Hazneza binti Abdul Hamid