Resepi Sambal Jantan atau sambal Bodo
Cikgu perasan setiap kali gambar sambal jantan cikgu lalu, mesti ramai yang tertarik. Cikgu dah pernah kongsi pun resepinya sebelum ini. Takpa cikgu tulis lagi buat sekian kalinya. Tahu asal usul nama sambal jantan?
Nama lainnya kalau orang Kelantan sebut ‘sambal bodo’. Hii agak kasar sikit sebutannya. Sambal ini memang terkenal dekat kedai nasi berlauk pagi. Beli nasi bungkus apa-apa pun mesti ada sambal jantan. Nasi gulai ayam. Nasi gulai ikan. Nasi lauk kerutuk. Nasi kerabu ‘Secoet’ pun mesti sambal ini terselit sama. Boleh menambahkan aroma dan kesedapan nasi bungkus tadi.
Diberi nama sambal jantan atau bodo sebab nak buatnya terlajak mudah. Jantan sama dengan lelaki. Jantan atau jate dalam bahasa negeri cikgu. Sifat orang jantan ni diumpamakan suka buat kerja memasak lagi mudah dari orang ‘tino’. Haa gitulah lebih kurang ikut sinonimnya. Dekat rumah cikgu kena sentiasa ada stok. Barulah mudah cikgu nak makan macam dalam gambar cikgu letak tu. Nah resepinya;
Bahan dan Cara Membuat:
2 genggam cili padi merah (dibuang tangkai)
2 senduk cuka
1 atau 1 1/2 sudu besar garam
4-5 sudu besar gula
1/2 cawan air masak (kalau nak jadikan sebagai air lada, bolehlah tambahkan air lagi untuk sambal menjadi sedikit cair.
- Nak gunakan cuka sepenuhnya pun terpulang.
Kisar semua bahan di atas sehingga sedikit lumat. Kena rasa garam atau gula biar berasa untuk elakkan sambal cepat berkulat.
Tips lain: Biarkan di luar semalaman dua. Barulah masukkan dalam peti. Guna sudu kering setiap kali ambil.
Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Afy AL Habibi