
Resepi Salted Egg Butter Crab Memang Secukup Rasa
Dahulu Salted Egg Butter Crab atau Ketam mentega telur masin hanya boleh dinikmatli di hotel atau Restoran Makanan Laut China sahaja kerana hidangan ini memang berasal dari China. Ia cukup berperisa, lemak, manis dan masin terutama jika tergigit pecahan telur masin. Memang marvellous.
Kini hidangan ini telah mula tersebar pada masyarakat Melayu dan juga masyarakat lain yang selama ini hanya lebih terdedah dengan masakan barat dan Thailand sahaja. Ini juga adalah resepi asas untuk Butter chicken atau ayam mentega hanya kita tidak perlu meletakkan telur masin di dalamnya. Saya kongsikan resepi dan cara memasaknya step by step agar memudahkan Puan-puan dan Tuan-tuan untuk memasaknya. In Syaa Allah.
Bahan-Bahan:
- 2 ekor ketam atau secukupnya.
- 2 biji telur masin.
- 2 pelepah daun kari.
- 10 biji cili api (boleh tambah atau kurang).
- 2 sudu makan mentega/butter.
- 1 tin susu cair (saya guna susu saji).
- 7 ulas bawang putih (jangan dikurangkan, nanti tak wangi dan sedap)
- 1 sudu makan gula.
- Minyak masak secukupnya untuk menggoreng ketam.
- 2 sudu makan tepung jagung untuk menyalut ketam (jika tiada pun tidak mengapa tapi saya guna kerana menahan kemanisan air isi ketam dari mengalir keluar ketika proses digoreng).
Cara Memasak:
1. Siang dan basuh ketam lalu dikerat dua dan toskan airnya. Ketukkan semua ketis ketam tetapi jangan sampai pecah sekadar retak ketisnya agar mudah untuk dimakan nanti.
2. Celupkan ketam ke dalam tepung yang kering. Tepung akan melekat terutama pada isi ketam yang dikerat. Jangan masukkan air. Ceraikan daun kari dari pelepah. Basuh cili api dan dimayang nipis. Bawang putih ditumbuk atau dicincang.
3. Telur masin pula direbus keras dan dibuang kulit lalu di cincang kasar menggunakan garfu. Panaskan kuali dan tuang minyak masak dan goreng ketam setelah minyak menjadi panas. Balik-balikkan ketam hingga masak seimbang.
4. Setelah masak matikan api, angkat ketam dan tos minyaknya. Ketepikan. Keluarkan minyak gorengan ketam hingga tinggal lebih kurang 2 sudu makan dalam kuali. Panaskan minyak dan masukkan butter, bawang putih, cili api dan daun kari. Kacau seketika.
5. Setelah kekuningan dan wangi masukkan susu cair. kacau sebati dan masukkan gula. Apabila telah mendidih terus masukkan telur masin yang dicincang kasar. Bila mendidih sekali lagi matikan api. Masukkan ketam ke dalam kuali. Siap untuk hidangan.
Resepi Oleh: Mardziah Hj Yahya