Resepi Puding Roti Pandan Kelapa Gardenia
Mula-mula teruja beli roti ni sebab ’drama tipah tertipu’ dengan bungkusan roti putih diiklan dengan roti ni. Ramai terkena bila beli roti putih yang disangkakan roti kelapa pandan. Aku pun tak terkecuali dari menjadi salah seorang pemburu roti pandan kelapa tersebut sehinggalah semua ahli dalam rumah aku dah ‘cemuih’ nak makan roti tu. Untuk rekod, aku dah beli hampir 10 kali roti viral tu. Roti yang aku beli dari awal boleh habis dalam masa sehari, kini tak lagi. Oleh itu, aku dapat idea macam mana nak bagi roti tu habis jugak sebab esok dah nak expire.
Tadaaa… Memperkenalkan Puding Roti Pandan Kelapa Gardenia (ini bukan iklan berbayar). Tak perlu makan dengan custard sauce. Sungguh enak dimakan begitu saja (haha.. memang kena dengan slogan gardenia..). Makanlah sewaktu masih panas. Memang sedap giler.
Bahan-Bahan:
- 8 keping roti pandan kelapa
- 3 biji telur
- 500ml susu segar/susu cair
- 2 sudu gula Castor
- 2 sudu butter dicairkan
- 1 sudu teh esen pandan
- 1 sudu teh garam
- 1 tin Kaya Pandan
Cara Membuat:
1. Koyakkan roti dalam mangkuk dan ketepikan. Panaskan butter sehingga cair. Masukkan butter cair, telur, susu, gula, garam, esen pandan dan pukul hingga rata. Tak perlu lama-lama.
2. Tuangkan bahan ke dalam mangkuk berisi roti tadi. Pastikan kena semua roti tadi. Biarkan ia rehat dalam 10-15 minit.
3. Kemudian, greasekan atau sapukan loyang dengan butter. Masukkan separuh adunan tadi. Ingat ya, masukkan separuh saja dulu.
4. Picitkan kaya dengan piping bag ke atas adunan dalam loyang. Kemudian baru sambung masukkan adunan bagi tertutup kaya yang dipicit tadi.
5. Lepas tu, bakar dalam oven dengan suhu 160 darjah celcius selama 35 minit.
Resepi Oleh: Ahmad Fayadh