Ayam, Nasi

Resepi Nasi Ayam dan Sambal Geprek

resepi-nasi-ayam-dan-sambal-geprek

Resepi Nasi Ayam dan Sambal Geprek

Nasi ayam geprek lunch kami hari ni, alhamdulillah.

Bahan Untuk Sambal Geprek:

  • 21 tangkai cili padi merah
  • 3 biji cili merah besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 biji tomato
  • 1 sudu besar belacan bakar
  • sedikit gula
  • garam secukup rasa
  • Aji – optional

Cara Buat Sambal Geprek:

1. Potong kasar cili padi merah, cili merah besar dan bawang putih serta tomato. Panaskan minyak dan goreng bahan-bahan yang telah dipotong.

2. Tomato dimasukkan lambat sedikit agar ia tidak terlalu hancur dalam minyak gorengan. Angkat bahan yang digoreng dan toskan minyak. Tumbuk atau gesek kasar bahan-bahan gorengan.

3. Masukkan sedikit gula, garam dan serbuk perasa agar secukup rasa. Kemudian tumbuk sebati dan sesuaikan rasa. Tuangkan minyak gorengan yang masih panas ke dalam bahan yang ditumbuk.

Resepi Nasi Ayam dan Sambal Geprek

Bahan Ayam Goreng Geprek:

  • 8 keping isi ayam tanpa tulang (saya beli ayam size besar, kemudian kerat 8 dan saya ambil bahagian peha serta dada, saya leraikan isinya dari tulang. Disebabkan ayam size besar untuk bahagian dada tu saya dapat 3 keping isi ayam. Tulang-tulang jangan buang sebab boleh buat supnya nanti)
  • 7 ulas bawang putih*
  • 1 sudu kecil biji ketumbar*
  • 1 sudu kecil jintan manis*
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 biji limau nipis
  • 1 sudu kecil garam
  • Tepung bestari yang dicampur sedikit tepung gandum secukupnya untuk goreng ayam.
  • Satu mangkuk air sejuk dari peti ais
  • minyak masak

Cara Buat Ayam Geprek:

1. Kisar halus bahan-bahan bertanda (*). Bersihkan ayam dan perah jus limau nipis ke dalam ayam lalu gaulkan dengan garam, serbuk cili bersama bahan-bahan yang telah dikisar. Perapkan selama 30 minit.

2. Bila dah cukup masa perapan, celup dan salut ayam yang diperap ke dalam tepung bestari. Kemudian, celup pula ke dalam air sejuk dan celup kembali ke dalam tepung. Biarkan ayam seketika agar ia sebati dengan salutan.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Roti Bun Serunding Ayam

3. Panaskan minyak masak agak banyak dalam kuali. Pastikan minyak cukup panas ye sebelum masukkan ayam. Selepas minyak cukup panas, goreng ayam dengan api sederhana sehingga masak, garing keemasan.

4. Api tak boleh kuat sebab takut nanti bahagian luar ayam terlalu cepat garing tapi isi ayam masih belum cukup masak. Kesemua ayam yang siap digoreng, setelah itu ditumbuk atau digeprek bersama sedikit sambal.

5. Kemudian, ayam geprek siap dan boleh dihidang bersama nasi, ulam-ulaman dan kalau suka perah sedikit limau nipis diatas ayam yang bersalut dengan sambal geprek. Selamat mencuba.

Resepi Nasi Ayam dan Sambal Geprek

Bahan Pelengkap Menu:

  • Nasi putih
  • Sup kosong
  • Timun
  • Tomato
  • Salad
  • Tempe goreng
  • Tauhu goreng

Tips:

  1. Sebelum goreng cili padi merah dan cili merah besar, patahkan cili atau potong kasar bagi mengelakkan ia meletup semasa menggoreng.
  2. Untuk mendapatkan ayam goreng yang lebih rangup, ayam yang digoreng JANGAN diletakkan kesemuanya sekaligus atau JANGAN letak dalam kuantiti yang banyak dalam setiap kali proses menggoreng. Tetapi diletakkan dua tiga ketul sahaja terlebih dahulu kemudian baru goreng yang lain seterusnya.
Resepi Nasi Ayam dan Sambal Geprek

Resepi Oleh: Adnil Sam