Resepi Laksa Asam Mackerel
Ni breakfast pagi tadi. Alhamdulillah. Puas fikir nak masak apa. Masa beli barang haritu ada ambik mee laksa kering. Ok terus dapat idea nak melaksa untuk breakfast. Tanpa ikan fresh. 100% menggunakan ikan mackerel dalam tin. Sewajibnya jenama Ayam Brand.
Ye, ramai akan kecam laksa guna ikan dalam tin ni tak sedap, bukan laksa namanya, tak asli..bla bla bla. Takpe, ni saya masak untuk family saya. Dan saya share untuk sesiapa yang nak melaksa tapi nak jimat ikan dimusim PKP ni. Atau untuk sesiapa yang kawasan dia susah nak dapat stok ikan segar. Bagi selera saya dan keluarga, Alhamdulillah sedap je. Untuk sesiapa yang nak try, boleh try. Cepat, senang dan Insyallah sedap.
Bahan-Bahan:
- 1 bungkus mee laksa (rendam satu jam)
- 1 biji bawang besar
- 2 ulas bawang putih
- 5 ke 6 tangkai lada kering (rendam sampai lembut)
- 1 sudu belacan
- air secukupnya
- 1 tin besar Mackerel Ayam Brand Malaysia
- 2 batang serai (ketuk)
- 5 ke 6 asam keping
- garam dan gula secukup rasa
- segenggam daun kesum
- 2 batang bunga kantan (potong)
+ Bahan sampingan dan ulaman (telur rebus, limau nipis, nenas, lada merah, salad, bawang besar, kacang panjang & daun pudina)
Cara Masak:
1. Kisar bawang besar, bawang putih, lada kering dan belacan dengan sedikit air sampai lumat. Masukkan bahan kisar kedalam periuk. Tambah sikit air.
2. Kisar ikan mackerel dalam tin dengan 1 tin air. Masukkan dalam periuk dan tambah sikit air lagi. Buka api dan masukkan serai dan asam keping. Kacau rata dan biar mendidih.
3. Perasakan dengan garam dan gula. Tambah daun kesum dan bunga kantan. Kacau rata. Biar mereneh sampai kuah betul betul masak sekata.
4. Sementara tu, didihkan air. Rebus mee laksa sampai lembut. Tapiskan, bilas dan tos. Hidangkan mee laksa dengan kuah dan bahan sampingan serta ulam ulaman.

Resepi Oleh: Dapurfaafeefoo