
Resepi Kuih Tepung Gomak Inti Kelapa Manis
Kat tempat saya ni, jarang sangat jumpa orang jual kuih ni. Tapi tempat lain mungkin banyak orang jual ye. Saya mula kenal kuih ni masa usia saya kecik lagi. Belum sekolah pun lagi. Mak buat, arwah abah yang tolong jual kat pasar malam. Kecik-kecik saya dah suka kuih ni sampai lah usia saya 37 tahun sekarang. Selamat menjamu selera.
Bahan Inti:
- 1/2 biji kelapa parut muda
- 3 sdm gula merah/gula melaka
- 3 sdm gula pasir
- 2-3 helai daun pandan disimpul
- 1 cawan air
- 1-2 sdm tepung gandum
Sukatan gula boleh adjust ikut selera masing-masing
Cara Membuat:
1. Didihkan air bersama daun pandan. Bila daun pandan dah layu, masukkan pula gula merah dan gula pasir. Renehkan seketika.
2. Masukkan kelapa parut muda. Gaul rata sehingga air agak kering. Masukkan tepung gandum atau sebarang tepung dan masak seketika. Gaul rata, sejukkan. Bulat-bulatkan besar inti ikut suka
Bahan Doh: Untuk hasilkan 20 biji kuih
- 2 cawan tepung pulut
- 2 sdm membukit tepung gandum
- 1 1/2 cawan air
- Sedikit garam
Cawan 250ml
Cara Membuat:
1. Larutkan garam bersama air. Campurkan kedua-dua tepung dalam bekas. Tuang air sedikit demi sedikit sambil uli doh sehingga doh tak melekat di bekas.
2. Tambah lagi sedikit air jika doh masih keras. Masukkan inti dan bulatkan kemudian leperkan. Sementara itu, didihkan air dalam periuk.
3. Rebus kuih yang telah siap dibentuk. Bila kuih dah terapung, tanda kuih telah masak. Boleh terus salut dengan tepung kacang hijau.
Bahan Salut: Kacang hijau
Cara Membuat:
1. Sangai kacang hijau menggunakan api kecil sehingga warna keperangan. Buang kulit kacang, kemudian ayak atau tampi kulit kacang.
2. Masukkan dalam pengisar kering. Kisar sehingga halus. Ayak dan blend lagi sehingga dapat tekstur seperti tepung.
3. Sangai tepung kacang hijau lagi sekali. Sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
Atau Cara Terpaling Mudah:
- Beli saja tepung kacang hijau yang sedia ada dikedai-kedai atau pasaraya. Pastikan ada tertulis ROASTED ye.
- Selain kuih tepung gomak, tepung ini juga boleh dibuat kuih Kole Kacang, Batang Buruk, atau Putu Kacang.
Selamat mencuba ye.
Resepi Oleh: Marlia Lia