Resepi Kuih Kaswi Lemak Pandan
Petang ni, saya buat kuih kaswi pandan. Masih menggunakan resepi yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Ratio tepung ubi : tepung gandum = 1:1. Cuma kali ni, saya ada tambahkan sedikit santan.
As a pandan lover, macam biasa jugak, saya cuma menggunakan jus pandan tanpa memasukkan pewarna hijau & perisa pandan. Yang ni, terpulang kepada citarasa masing-masing.
Tapi, ada satu step saya lupa buat & menjadikan kaswi dalam acuan lompang saya tak ada lesung pipit macam sebelum ni. Lupa pulak nak panaskan acuan tu dulu. Tak apalah. Yang penting kuih tetap menjadi.
Bahan-Bahan (25 acuan lompang kecil):
- 2 cawan air
- 2/3 cawan gula pasir
- 10-12 helai daun pandan (+-4g/helai)
- 2/3 cawan tepung gandum
- 2/3 cawan tepung ubi
- 1/2 sdt garam halus
- 1/2 cawan santan pekat
- 1 sdt air kapur
Bahan Hiasan:
Kelapa parut putih & sedikit garam
Cara Penyediaan:
1. Masak gula pasir dengan 1 cawan air. Sejukkan. Kisar daun pandan dengan 1 cawan air. Tapis dan ambil jusnya sahaja.
2. Campurkan air gula yang telah disejukkan, jus pandan, santan dan air kapur ke dalam tepung gandum, tepung ubi dan garam halus.
3. Kacau rata sehingga adunan sebati. Tapis jika adunan berketul. Oleskan acuan dengan sedikit minyak.
4. Panaskan kukusan. Apabila air menggelegak, panaskan acuan selama 5-10 minit. Masukkan setiap acuan dengan 2 sudu besar adunan dan kukus selama 15 minit. Kukuskan juga kelapa parut dan garam seketika.
5. Setelah kuih masak, sejukkan dahulu sebelum dikeluarkan dari acuan. Taburkan/ salutkan dengan kelapa parut. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
- Sukatan resipi ini juga sesuai untuk loyang 7×7 inci.
- Kacau adunan tepung sebelum dituang ke dalam acuan.

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah