Sambal & Pencicah

Resepi Kuah Pencicah atau Colek Cili Boh

resepi-kuah-pencicah-atau-colek-cili-boh

Resepi Kuah Pencicah atau Colek Cili Boh

Colek atau nama lainnya pencicah. Rasa colek yang sangat padu. Antara banyak versi colek yang cikgu masak, Collek Cili Boh paling cikgu suka ulang buat. Selain mudah untuk disediakan, colek ini hampir sama warnanya dengan colek keropok losong. Tetapi tentang rasanya, cikgu tambahkan satu bahan rahsia sebagai penyedap rasa.

Nak makan dengan Jeput Mallah ektra rangup boleh. Nak cicah dengan keropok lekor atau keropok keping pun boleh. Nak buat colek ni sebagai colek khas untuk colek ayam yang tersohor juga kat Kelantan tu juga boleh. Banyak lagilah. Colek serbaguna yang mesti dicuba oleh semua kawan cikgu. Kalau suka jangan lupa panjangkan resepi cikgu yang mabeless ni.

Bahan dan Cara Buat:

1. Jom tengok bahan-bahan utama yang mudah untuk Collek Cili Boh Kick

  • Cili Boh
  • Nisse
  • Kuah Rojak Mak Bee (bahan rahsia)

1. Masukkan 1 Liter air kosong bersamaan juga 5 cawan air. Kemudian masukkan 2 1/2 senduk Cili Boh.

2. Masukkan pula 2 botol kuah rojak Mak Bee. Kalau nak guna satu botol sahaja, kurangkan air ok. Kenapa kena ada kuah rojak Mak Bee? Supaya rasa colek menjadi kick. Cukup rasa belacan dan warna kuah pun lebih cantik. Lain dari biasa.

3. Seterusnya tambah 2 keping kecil nisse. Boleh juga gantikan dengan gula melaka 2 sudu besar. Tambahkan pula 3 senduk gula. Kuantiti gula boleh dikurangkan atau ditambah ikut citarasa sendiri.

4. Tambahkan 3/4 sudu kecil garam (Jangan terlalu penuh juga). Penambahan garam penting untuk menyeimbangkan rasa colek. Gunakan api perlahan sahaja.

5. Selepas colek mula mendidih tambahkan air bancuhan tepung jagung untuk melikatkan kuah (2 sudu besar separa penuh tepung jagung dilarutkan dengan sedikit air). Kepekatan boleh adjust. Kalau tak suka likat sangat, kurangkan tepung jagung. Elakkan masukkan tepung terus ke dalam kuah ya. Nanti berketul-ketul.

6. Kacau kuah sehingga sebati. Biarkan kira-kira 20 minit dalam api perlahan. Tak perlu tambah cuka atau asam jawa sebab colek ini cukup rasa masam yang tersedia ada. Kacau sesekali.

7. Tutup api selepas kuah dimasak cantik begini dan cukup rasanya. Sejukkan sebelum disimpan.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Kuah Kacang

8. Hidangkan bersama Jeput Mallah ekstra rangup beserta bahan pelengkap di atas. Cara hidangan;

  • Sama ada dicicah atau dituang terus merata ke atas jeput mallah.
  • Sepatutnya kalau ada kacang tanah tumbuk lagi sedap. Campurkan setiap kali sebelum makan je. Untuk stok, jangan tambah supaya colek tidak cepat rosak sekiranya disimpan di luar peti sejuk.
  • Colek ini boleh dicicah dengan pelbagai hidangan. Manis, pedas. Padu rasanya.
Resepi Kuah Pencicah atau Colek Cili Boh

Gabungan paling sesuai untuk dicicah. Jeput mallah. Cikgu bagi resepi ringkas Jeput malah wallah ektra rangup!

1. Masukkan 5 senduk kecil tepung gandum ke dalam bekas. Tambahkan 1/2 sudu kecil tepung penaik baking powder dan 1/3 sudu kecil garam.

2. Masukkan hirisan bahan di bawah:

  • 1/2 genggam kangkung
  • segenggam taugeh
  • 1/2 genggam kucai
  • kalau tambah udang lagi sedap

3. Pecahkan sebiji telur. Gaul adunan tadi dengan 2 gelas air sejuk peti. Masukkan sedikit demi sedikit untuk elak adunan terlalu cair. Adunan dikacau sebati. Perap satu jam sebelum digoreng. Tutup bekas.

4. Panaskan minyak. Sendukkan adunan tadi ke dalam kuali. Balikkan selepas bahagian bawah separa mengeras. Kena kerap balik-balikkan selepas kedua bahagian semakin mengeras.

5. Guna api sederhana kuat. Elakkan menggunakan api terlalu perlahan supaya minyak tidak terserap dengan banyaknya. Goreng sehingga jeput atau cekodok tadi perang keemasan. Rangupnya pasti kekal berpanjangan.

Selamat mencuba semua.

Resepi Kuah Pencicah atau Colek Cili Boh

Resepi Oleh: Afy AL Habibi