Resepi Kek Span Marble Pandan Gebu Sukatan Cawan
Kek Span Marble Pandan, Alhamdulillah, Subhanallah gebu gebas kejadiannya. Walau selalu buat kek span ni, perasaan berdebar tetap ada. Bahan dalam sukatan cawan minum teh dan gm.
Bahan A:
- 5 biji telur gred A@6 biji gred B
- 170gm gula Castor (3/4 cawan @ hampir 1 cawan)
- 1 sd makan membukit Ovalette
- 1 sd teh Esen @ Kelapa Pandan Emulco
- 70 ml susu segar @ susu cair (1/3 Cawan), saya guna santan yang siap diblend bersama daun pandan
- 180gm Tepung naik sendiri (1 1/2 cawan)
- Secubit Baking Powder, boleh tambah atau tak
Bahan B:
- 70ml minyak Jagung @ minyak masak (1/3 cawan @ 7 sudu makan)
Bahan Lain:
- Sedikit pewarna hijau epal
- Sedikit pewarna kuning telur
Cara Membuat:
1. Panaskan oven 180c selama 15 minit. Oleskan sedikit marjerin atau shortening pada loyang 9 inci tinggi 2 inci setengah dan lapik baking paper (saya guna loyang lubang tengah).
2. Satukan kesemua bahan A ke dalam mangkuk mixer, putar perlahan hingga sebati beberapa minit. Kemudian terus mix dengan speed paling tinggi selama lebih kurang 15 minit hingga adunan nampak gebu, naik sehabis tinggi.
3. Sambil-sambil mixer on, sisip-sisipkan adunan pada tepi mangkuk ke tengah supaya semua adunan diputar sebati. Putar hingga adunan kelihatan gebu berkrim dan ringan. Matikan mixer, masukkan minyak sedikit-sedikit sambil kacau perlahan hingga sebati.
4. Sisip tepi-tepi mangkuk sambil kaup balik perlahan. Bahagi adunan kepada 3 bekas, 2 bekas sama banyak dan 1 bekas lagi lebih kurang 4 sudu makan. 1 adunan yang banyak letak pewarna hijau epal, 1 biarkan putih dan yang sedikit tu letak pewarna kuning telur.
5. Tuangkan separuh adunan hijau pada dasar periuk kek atau loyang 9 inci berlubang tengah. Kemudian lapiskan dengan adunan putih di atas adunan hijau tadi. Simpan asing sedikit adunan putih untuk tompokkan di atas nanti.
6. Tuangkan baki adunan hijau atas adunan putih kemudian tompokkan baki adunan putih dan adunan kuning tadi. Lorekkan permukaan secara membulat. Hentak loyang perlahan-lahan, kemudian bakar di dalam oven dengan api atas bawah selama 50 minit hingga 1 jam 15 minit, suhu 160 darjah.
7. Suhu ikut kesesuaian ye sebab setiap oven tahap panas tak sama. Malam ni guna suhu rendah sikit dari biasa jadi lambat sikit kek masak. Dah masak, keluarkan loyang kek dari oven. Sisip tepi-tepi Loyang kemudian telangkupkan loyang kek atas redai.
8. Keluarkan kek dari loyang. Letak kek pada kedudukan asal dan tunggu biar sejuk atau suam sedikit baru potong dengan pisau bergerigi nipis. Siap, moga bermanfaat.
PERINGATAN PENTING:
- Cawan minum teh yang biasa adalah berkapasiti 200ml, jadi sukatan susu dan minyak 70ml adalah kurang dari setengah cawan. Sukatan yang Ina bagi adalah anggaran, In shaa Allah jadi. Jangan terlebih dah ya.
- Pastikan sukatan minyak dan susu segar jangan terlebih ye, kalau terkurang sedikit In shaa Allah tak apa. Kek masih jadi dengan jayanya.
Guna Loyang 9 Inci Macam Ni, Baru Hasil Potongan Kek Lebih Cantik >> KLIK DI SINI

Resepi Oleh: Zurina Kifli


