Kek

Resepi Kek Marble Oren Cappucino

resepi-kek-marble-oren-cappucino

Resepi Kek Marble Oren Cappucino

Saya suka kopi. Saya suka oren. Saya suka kedua-dua rasa. Dari semua rasa, yang selalu ada dalam fikiran saya ialah Oren-Cappuccino. Oleh itu, saya telah mencipta rasa ini dalam bentuk Kek Marble. Kek ini mempunyai aroma yang sangat menarik. Rasa kopi yang lembut dengan sentuhan oren yang sangat menarik!.

Tidak salah kan mencuba? Saya juga suka coklat, jadi saya memutuskan untuk menambah serbuk koko juga ke dalam kek untuk menaikkan lagi rasa kopi. Pastinya kek ini sangat sesuai dimakan dengan secawan kopi!.

Resepi kek ni sis buat niaga. Kek Marble ni gebu dan lembut je. Siapa nak mencuba silakan ya. Kita sama-sama kongsi. Doakan kita semua diperluaskan pintu-pintu rezeki oleh Allah. Aamin Ya Mujib.

Bahan A:

  • 250 gram majerin/mentega
  • 190 gram gula kastor

Bahan B:

  • 5 biji telur gred B

Bahan C:

  • 230 gram tepung gandum/tepung kek
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik

Bahan D:

  • 50 gram susu penuh krim UHT
  • 1 sudu teh esen buttervanilla

Pewarna dan Perasa:

  • 1 sudu teh cappucino emulco + 1/2 sudu makan serbuk koko EXTRA DARK (for colouring can skip gantikan 1 sb pewarna coklat)
  • 1 sudu teh pewarna oren + 1/2 sudu teh oren emulco

Cara Buat:

1. Putar bahan A pada kelajuan perlahan selama 2 minit. Kaup balik adunan. Putar lagi dengan kelajuan sederhana selama 15 minit. Putar sehingga adunan ringan dan gebu (Tanda adunan sudah gebu bila adunan tidak terjatuh bila diterbalikkan).

2. Masukkan bahan B satu persatu sambil memutar adunan. Masukkan bahan C yang telah diayak sesudu demi sesudu. Masukkan bahan D dan putar lagi selama 3-5 minit.

3. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Masukkan serbuk koko dan pewarna. Lagi 1 bahagian biarkan warna asli. Gris loyang dengan majerin dan kemudian lapik dengan kertas pembakar. Masukkan adunan secara selang seli.

4. Hentak loyang 3 kali untuk keluarkan angin di dalam kek. Dan lorekkan permukaan kek. Bakar kek pada suhu 150°C selama 60 minit atau sehingga masak.

Nota:

  • Saya guna loyang 8″
  • Kek ni manis-manis buah jika suka manis boleh tambah gula sehingga 200-210 gram.
  • Kek ni boleh dibakar atau dikukus.

Kaedah Bakar: Bakar pada suhu 150°C, api atas bawah, padam kipas, rak tengah dan dibakar selama 50-60 minit bergantung pada oven masing-masing.

Kaedah Kukus: Gunakan api sederhana, dan pastikan sebelum masukkan adunan, air dalam kukusan mendidih. Balut penutup pengukus dengan tuala supaya air wap tidak jatuh ke permukaan kek. Jika tidak tutup permukaan kek akan menjadi tidak cantik.

Resepi Kek Marble Oren Cappucino

Resepi Oleh: Ika Zul