Resepi Ikan Cencaru Sumbat Sambal Kelapa
Kalau ikan cencaru, Kak Za memang suka masak sambal siram atas atau sumbat kelapa. Somi dengan anak anak memang suka sangat la makan dua menu ni. Boleh bertambah nasi, kadang-kadang tu siap meratah lagi tau. Hahaha.
Menu simple tapi sedap dimakan bersama nasi panas-panas. Boleh la buat untuk menu makan tengah hari nanti. Jom kita mulakan.
Bahan-Bahan:
- Ikan cencaru – dibelah belakang
- Sedikit serbuk kunyit
- Sedikit pes asam jawa
- Kelapa parut secukupnya
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan Kisar:
- 3 tangkai cili merah
- 6 tangkai cili padi
- 6 ulas bawang merah
- 1 batang serai
- Sedikit belacan
- 1 sudu kecil jintan manis
- 1 inci kunyit hidup
Cara Memasak:
1. Ikan cencaru dibelah belakang, cuci bersih dan dilumur garam kunyit. Ketepikan. Kisar semua bahan hingga hancur. Kemudian masukkan kelapa parut, pes asam jawa, garam dan gula dan kisar sekali je untuk sebatikan dia.
2. Ambil ikan yang dibelah belakang tadi, isikan sambal kelapa secukupnya. Panaskan minyak di dalam kuali atau pemanggang ajaib. Minyak tu biar tenggelamkan separuh bahagian ikan.
3. Gorengkan ikan di dalam kuali atau pemanggang ajaib. Kak Za lebih suka guna pemanggang ajaib sebab tak perlu nak balik balikkan sangat ikan jadi tak de la habis bersepah sambal kelapa tu kan.
4. Akhir sekali, bila ikan dah masak boleh la diangkat dan toskan. Selamat mencuba.
Resepi Oleh: Iza Abu Bakar