
Resepi dan Petua Kulit Karipap Rangup Boleh Difrozenkan
Assalamualaikum wrt. Hari ini saya nak share resepi karipap rangup cara saya. Saya mula buat karipap hanya untuk sendiri makan dan sekadar memenuhi permintaan dari jiran-jiran untuk stock bulan ramadhan.
Alhamdulillah bermula dari ramadhan tahun ini, atas permintaan dan sambutan dari jiran-jiran, saya meneruskan stock untuk dijadikan karipap frozen. Kalau ada yang nak resepi untuk mulakan jualan karipap frozen dan karipap rangup (crunchy) cara saya.
Di sini saya sertakan sekali resepinya dan beberapa hint yang saya guna pakai, boleh cuba ya. Moga ianya membantu dan memberi bermanfaat kepada yang lain. Boleh share kepada yang berminat. Resepi, cara-cara dan hint di bawah ya.
Bahan Kulit Karipap Rangup:
- 1 kg (satu bungkus) tepung gandum – saya guna tepung mfm cap ros
- 3/4 cawan @ 150ml @ 15 sudu makan minyak masak
- 1 sudu makan marjerin apa-apa jenama pon boleh – saya guna planta
- 350ml @ 2 cawan @ 18 sudu @ 19 sudu aura air masak/mineral/drinking water/dari penapis coway/cuckoo
- 1 sudu makan air kapur yang jernih sahaja
Oh! sebelum lupa jangan tanya saya garam atau gula tak letak kah?. Saya memang tidak letak sebab resepi dari arwah mak pon takde letak garam gula. Tapi kalau nak letak rasanya tidaklah menjadi kesalahan, ikut selera dan gerak hati masing-masing ya.
Cara Membuatnya:
1. Panaskan minyak dan marjerin atau planta. Biarkan suam-suam dan tuang ke dalam tepung gandum. Gaul rata minyak dan tepung menjadi seperti serbuk roti atau breadcrum.
2. Campurkan air kapur dan air yang 350 ml tadi. Setelah itu masukkan air sedikit demi sedikit ke dalam tepung, jangan terlalu lembik atau keras atau sampai boleh uli dan tidak melekat.
3. Uli tepung sehingga sebati menjadi dough. Untuk proses karipap menjadi senang, rehatkan atau biarkan dough dalam 45 minit hingga 1 jam.
Hint; Kalau nak cepat boleh tutupkan dough yang diletakkan dalam bekas dan di wrap dengan cling film, dalam 15 minit dah boleh proses buat karipap.
Cara saya untuk no. 3, setelah menjadi dough, agak-agak tepung tidak melekat (jika melekat atau lembik letakkan sikit tepung, jika keras tambahkan air) saya dengan secepat kilat jadikan dough kepada bulat-bulat kecil (yang ni ikut magic saya ok, selalunya untuk 1 kg tepung mean 1 bungkus saya dapat dalam 100-115 biji bebola kecil).
Setelah dibulat-bulatkan kecil saya rehatkan dalam 15 minit. Kenapa 15 minit? sebab saya wrap dengan cling bagi kedap udara dan dough cepat lembut dan senang untuk dibentuk. Dan 15 minit juga saya boleh lepak minum jap kat kedai depan rumah.. hihihi.
Selepas 15 minit boleh start buat karipap. Untuk buat jualan frozen ada 2 cara bagi karipap tahan lama, boleh tahan sehingga 2/3 bulan;
Goreng separuh masak, sejukkan then frozenkan. Karipap tak melekat.
Bakar guna oven api atas bawah, suhu 150C selama 15 minit, ikut oven masing-masing. Bila dah sejuk, frozenkan.
Kalau tanya saya, saya buat dua-dua ikut kepada keperluan. Kalau untuk bekalan travel jauh saya goreng separuh masak, kalau untuk simpanan frozen saya bakar. Kenapa ada beza disitu sebab untuk travel karipap frozen bakar tidak sesuai. Dia akan melt/melekat dan rupa akan herot petot bila nak menggoreng.
Kenapa karipap kita ada yang mengerutu ada yang ploles, bezanya adalah cara goreng.
Hint; Untuk karipap frozen ploles gebu gebas davas senang saja, keluarkan karipap frozen terus letak dalam minyak atas kuali bukak api kecil sederhana. JANGAN tunggu minyak panas atau defroshkan karipap, tak perlu. Tak makan minyak ke? jawapannya tidak. Terus letak karipap frozen yang keras tu dalam minyak yang belum dibuka api atau dipanaskan, itu saja. Karipap tak gelembung merapu rapu atau terbelah ditengah-tengah. Insya-Allah cantik kejadiannya.
Untuk karipap mengerutu, sebab ada yang suka karipap menggerutu katanya rangup dan sedap. Selepas siap karipap boleh terus goreng dengan api yang sederhana besar, gerutu akan terhasil. Tapi hanya diguna pakai untuk karipap yang sedia untuk digoreng terus. Untuk yang frozen hanya karipap frozen goreng sahaja menghasilkan gerutu setelah didefroshkan dari frozen.
Sekian itu saja, hanya niat nak share. Moga bermanfaat dan semoga kita semua dimurahkan rezeki dan semoga ilmu ini diberkati. Insya-Allah Aamin.
Resepi Oleh: Azam Abd Wahab