Resepi Dalca Wau Bulan
Nah, resepi dalca dari cikgu Afy. Nak jadikan juadah hari raya nanti pun sesuai. Pajeri nanas dengan ayam masak merah tu pun jangan lupa gabung sekali. Pasti tetamu suka.
Boleh kongsi sekiranya bermanfaat.
Bahan Kisar:
- 3 biji bawang merah saiz bola ping pong
- 1 ulas bawang putih
- 3 hiris nipis serai
- Secubit kecil jintan putih dan ketumbar
- 1/4 hiris nipis halia
+ Kisar semua bahan di atas hingga lumat.
Cara Masak:
1. Panaskan minyak. Masukkan 3 sekawan. Tumis seketika. Kemudian, masukkan bahan kisar tadi.
2. Tumis sehingga garing dan terbit bau wangi bawang. Masukkan pula 1/2 sudu besar cili kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
3. Masukkan pula 3 sudu besar rempah Dalca. Gunakan api paling perlahan. Kacau seketika. Pastikan disediakan air asam jawa lebih awal.
4. Terus tuang 3/4 gelas air asam jawa (secubit asam jawa + 3/4 gelas air). Kacau sehingga pes sebati. Pes dimasak hingga pecah minyak supaya nanti kuah dalca cantik kejadiannya. Gunakan api perlahan sahaja.
5. Sebelum tu, sediakan lauk yang perlu di masukkan;
- daging mentah yang dihiris nipis
- perut lembu (direbus seketika kemudian dihiris nipis)
- paru (direbus terlebih dahulu + sedikit garam. Rebus sehingga masak kemudian dihiris nipis)

6. Sesudah pes pecah minyak, masukkan terlebih dahulu hirisan daging. Tambahkan perasa pada peringkat awal;
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil gula
- 1/2 sudu kecil perisa Hilal
7. Reneh dalam api perlahan kira-kira 20 minit atau sehingga daging empuk. Tutup periuk ketika ini.
8. Seterusnya, masukkan pula sebiji kentang yang dibelah 8. Rebus terlebih dahulu hingga sedikit empuk.
9. Masukkan pula paru dan perut tadi. Juga perasa pada peringkat kedua;
- 3/4 sudu besar gula
- 3/4 sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil perencah Hilal
- secubit gula Melaka hancur
*Segala kuantiti terpulang kepada citarasa masing-masing.
10. Tutup semula periuk lebih kurang 5 minit. Kemudian masukkan pula 1 1/4 senduk santan pekat. Tambahkan dengan 1/2 cawan air. Kacau kuah supaya semua sebati.
*Boleh masukkan kacang dal yang telah direbus terlebih dahulu sehingga empuk sekiranya mahu.
11. Sediakan sayur-mayur yang sesuai dengan dalca. Mulakan dengan memasukkan;
- 1 biji terung bulat- belah 8
- 1/3 batang carrot- belah 10
- 1/2 biji bawang besar
- hirisan cili merah & lada hijau Siam/masukkan 2 tangkai

12. Selepas terung mula bertukar warna, masukkan pula;
- 1 keping nanas yang dipotong dadu – celur terlebih dahulu
- potongan kacang panjang
*Nanti jangan lupa masukkan sekali ketiak jagung/’baby corn. Haritu cikgu Afy lupa beli.
13. Ini rupanya bila semuanya bersatu. Biarkan lagi 2 minit. Siap. Boleh tutup api dan sedia dihidangkan. Siap resepi dalca wau bulan.
*Kacang panjang jangan biar lama. Nanti makin lama warnanya akan berubah.

Resepi Oleh: Afy AL Habibi