Resepi Baked Lemon Cheesecake

Resepi Baked Lemon Cheesecake

Dua kali buat “Baked Lemon Cheesecake” ini dalam seminggu. Licin tiap kali, Alhamdulillah. Memang berkrim, cair dimulut dengan rasa cheese dan lemon dan tidak terlalu manis. Baked cheesecake ni memang banyak pantang-larang jika tak mahu dia merekah. Jaga suhu oven dan jangan beri dia terkejut dari panas ke sejuk, misalnya.

Resepi Baked Lemon Cheesecake yang memang sedap, amat creamy, tidak berapa manis. Definitely keeper recipe bagi majlis-majlis masa hadapan, inshaAllah.

Bahan Dasarnya:

  • 1 3/4 cawan serbuk biskut digestive
  • 3 camca besar gula
  • secubit besar garam
  • 1/4 cawan butter – dicairkan

Cara Buat:

1. Gaulkan kesemua bahan-bahan ini, tekan pada dasar acuan cake “springform” 9 inci (Saya guna 8 inci, ok.. cuma tambah 15 minit bila bakar cake ini dari 1 jam 30 minit pada 1 jam 45 minit).

2. Bakar 10 minit dalam oven yang dipanaskan 170 darjah celsius. Sejukkan dan balut keliling acuan dengan dua lapisan foil aluminium.

Resepi Baked Lemon Cheesecake

Bahan Isinya:

  • 690 gm cream cheese (suhu bilik)
  • 250 gm mascarpone cheese (suhu bilik)
  • 1 1/3 cawan gula castor
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu teh ekstrak vanilla
  • 4 biji telur ayam gred A (suhu bilik)
  • 1 1/3 cawan Greek yogurt
  • 2 biji lemon (sagat halus kulit dan ambil jusnya) resepi asal sebiji lemon sahaja. Saya suka rasa lemonnya kuat sedikit, jadi saya guna 2 biji.

Cara Buat:

1. Turunkan suhu ketuhar hingga 160 darjah C. Didihkan air.

2. Pukul cream cheese dan mascarpone cheese selama 5 minit pada kelajuan sederhana sehingga betul-betul berkrim dan tidak berbintil.

3. Masukkan gula, garam dan kulit lemon sambil teruskan memukul. Dengan spatula pastikan kesemua adunan bergaul dari tepi mangkuk. Pukul 5 minit lagi dan masukkan ekstrak vanilla.

4. Masukkan telur satu persatu. Pukul setiap telur seminit, sebelum mengaup semua adunan dari tepi ke tengah selepas memukul telur tersebut. Ulang sehingga telur habis. Perlahankan kelajuan mixer. Masukkan Greek yogurt dan jus lemon. Pukul hingga adunan sebati.

5. Tuang adunan cream cheese ke atas base dalam acuan springform yang sudah disejukkan. Masukkan acuan yang telah dibalut foil aluminium itu ke dalam sebuah lagi baking tin. Masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan.

6. Tuang air mendidih hingga 1/2 dari paras acuan springform itu. Bakar selama sejam setengah. Matikan oven, dengan meletak sudu kayu, biarkan pintu oven terbuka sedikit dan biarkan kek dalam “water bath” tinggal dalam oven selama sejam. (Jadi tempoh dalam oven 2 jam 30 minit. 1 jam 30 minit bakar pada suhu 160 darjah. Matikan api, buka sedikit pintu oven dan biarkan sejam lagi dalam oven).

7. Selepas sejam, keluarkan cheesecake dari oven dan dari waterbath. Biarkan ia sejuk pada suhu bilik sebelum dimasukkan dalam fridge. Biarkan semalaman sebelum dipotong.

Resepi Oleh: Ida Alina Salleh