
Resepi Ayam Goreng Lubnan dengan Toum
Rusia dah, Uzbek dah, Jordan dah, jadi hari ni kita masak makanan Lubnan(Lebanon) pulalah. Ni ayam goreng cara orang Lubnan, yang dimakan dengan toum. Toum tu apa? Jom tengok!
Di universiti kami di Rusia, ada sebuah kafe halal. Entah apa nama kafenya, ada orang panggil Lebanon Cafe, tapi kami panggil kafe “underground” sebab dia terletak di bawah tanah. Nama makanan ni dalam menu dia adalah “chicken chili”
Bahan-Bahan:
- 1/2 ekor ayam (peha)
- 2-3 sudu besar serbuk paprika
- 1 sudu kecil serbuk jintan putih
- 1 sudu kecil serbuk ketumbar
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam
- 1/2 biji lemon
- 2-3 ulas bawang putih
- 1 senduk mayonis
- 1/2 biji kobis
- 1/2 batang lobak merah
- 1-2 sudu minyak zaitun
- Garam secukupnya
Cara Memasak:
1. Sagat bawang putih seulas, tabur serbuk paprika, jintan manis (kalau nak jintan putih pun boleh), ketumbar, lada hitam dan garam pada ayam. Perahkan jus daripada 1/4 lemon.
2. Gaul rempah hingga sebati. Perapkan ayam antara 30 minit hingga 2 jam. Kalau nak pedas, guna serbuk cili. Serbuk paprika ni tak berapa pedas.
3. Selepas perap, kalau nak goreng, letak tepung jagung. Kalau nak bakar, tak payah letak. Terus bakar pada suhu 250°C selama 30-40 minit. Saya nak goreng, jadi saya bedakkan.
4. Lepas bedakkan, kita goreng. Goreng minyak sederhana, dan perlu lama, untuk pastikan isi dia masak. Paling ideal, jika boleh goreng “deep fry”. Tutup supaya haba tak terbebas. Barulah cepat masak, dan minyak tak terpercik sana-sini.
5. Sementara tu, Laju-laju potong kobis dan lobak merah. Kita nak buat salad. Ini salad segar, tanpa mayonis. Kita perah baki lemon. Letak minyam zaitun, garam dan lada hitam. Gaul sebati. Salad seperti ini kurang popular di Malaysia, tapi ia lebih sesuai untuk masakan ini sebab kita ada toum.
6. Secara tradisi toum diperbuat daripada minyak, bawang putih, perahan lemon dan garam yang dikisar sampai jadi pes kental. Namun, kita buat cara mudah. Mayonis campur sagatan bawang putih. Haha!.
7. OK siap! Letak ayam, hidangkan sekali dengan salad, toum dan kentang goreng. Boleh juga hidang dengan nasi. Siapa tak pernah makan ayam goreng dengan mayonis berbawang putih, kena cuba! Sedap!
Close up! Yang merah tu bukan sos cili. Itu minyak gorengan ayam. Dia merah kerana ada serbuk paprika tu. Dah ada toum, tak perlu sos cili.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan