
Ayam Pandan Thai Ayam Goreng Gaya Orang Siam
Bosan makan ayam goreng? Apa kata kita masak ayam goreng gaya orang Siam, nak? Jom masak ‘gai hor bai toey’, atau lebih dikenali sebagai Ayam Pandan Thai.
Bahan-Bahan:
- 1 kg ayam (separuh ayam) dipotong kecil
- 2 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci kunyit hidup
- 1 inci halia
- 1 sudu cili kisar
- 1 batang serai
- 2 sudu gula Melaka / nipah
- ¼ sudu kecil serbuk ketumbar
- ¼ sudu kecil serbuk jintan manis
- ¼ sudu kecil serbuk jintan putih
- 2 sudu besar santan
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 susu besar minyak bijan
- 10 helai daun pandan
Cara Memasak:
1. Ayam potong kecil, boleh buang tulang dan kulit jika mahu. Saya tak buang kerana malas. Bahan-bahan lain, potong kasar dan masuk dalam pengisar kisar. Kisar semua sampai halus. Banyak gila bahan digunakan untuk buat bumbu (perencah) ayam ni. Jenuh nak cari semua. Hehe.
2. Satukan bumbu dengan ayam. Tabur garam secukup rasa. Gaul sebati. Gaul gunakan tangan baru mesra. Alamak lupa nak letak gula Melaka masa kisar tadi. Tak apa, campak sekarang. Kemudian perap sekejap dalam peti ais. Sambil tu, ambil pisau dan bawa ke belakang rumah.
3. Kita pergi kebun kita yang sekangkang kera ni. Cari pokok pandan. Ambil daun pandan yang muda sikit, tak usah yang tua sangat. Lepas dah ambil, cuci bersih.
4. Sekarang kita belajar cara balut ayam. Mula-mula silangkan daun pandan macam ni. Buat poket.
5. Letak seketul ayam di dalam poket yang terbentuk tadi. Setelah itu ambil hujung daun sebelah kiri, dan sisipkan ke depan. Ikut anak panah.
6. Jadilah begini. Setelah tu pusingkan simpulan daun ni, untuk lihat bahagian belakangnya.
7. Ini pandangan belakangnya. Hujung daun yang tadi, kita masukkan ke belakang pula, seperti ditunjukkan oleh anak panah.
8. Jadi macam ni. Kemudian pusingkan semula, untuk lihat bahagian hadapan.
9. Ini dia, simpulan ayam pandan kita. Kemaskan. Potong daun yang berlebihan, pada garis putus-putus.
10. Dah siap! Jika imej ni kelihatan kabur, maknanya anda kena pergi jumpa optometrist. Cuba periksa mata, entah-entah rabun. Ulang simpulan daun pandan, sampai semua ketulan ayam terbalut.
11. Goreng ayam tadi! Hati-hati, minyak pasti terpercik sebab daun tu ada air. Pakai perisai muka, pakai lengan panjang, pakai apron. (yang lelaki, jangan pakai boxer je).
12. Dah siap! Hidang dengan sos cili Thai! Boleh ratah begitu sahaja, atau makan dengan nasi putih! Rasanya berempah tapi tak keterlaluan, dan sedikit manis. Aroma daun pandan tu, memang membangkitkan selera!
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan