
Resepi Acar Ikan Talang Masin Penambah Selera
Assalamualaikum wbt. Dikesempatan ini izinkan saya berkongsi resepi istimewa pembuka selera untuk bersahur atau hari-hari biasa, Acar Ikan Talang Masin yang saya usahakan sebagai produk saya sehinggalah berhenti setelah saya dijangkiti Covid19 pertengahan 2021.
Ada keinginan untuk kembali mengusahakan, hanya masa yanga akan menentukan. Ini kali pertama saya masak resepi ini selepas sekian lama. Resepi dan cara memasak Acar Ikan Talang Masin jika anda berminat untuk mencuba.
Bahan-Bahan:
- Ikan Talang Masin – 1.5 Kg, potong ikut saiz yang sesuai. Rendam untuk kurangkan rasa masin, bilas, tos kering dan goreng. Ketepikan (boleh juga guna ikan masin yang lain seperti Kurau atau Malong)
- Cili Kering – 2 Genggam, tak timbang. Gunting dan buang biji, rebus, bilas dan tos kering. Kisar menggunakan minyak masak (saya tidak guna air). InshaAllah dengan biji-biji pun hancur sekali dan tidak meletup/melompat masa menumis.
Bahan Kisar: Kisar dengan minyak masak
- Bawang Besar – 10 Labu
- Bawang Putih – 1, 2 Labu (ikut selera)
- Halia 3, 4 inci
Bahan Lain:
- Serbuk Rempah Kari Daging – 4 Sudu Makan
- Gula – 1, 2 Mangkuk – Boleh tambah/kurang ikut citarasa
- Cuka Jalen – 1, 2 Cawan – Sama juga ikut citarasa
- Garam dan Perasa Secukupnya
- Buah-buah Jeruk – Cherry 2 atau 3 Warna, Plum/Prune, Buah Kurma atau Anggur Kering dan lain-lain jika ada
- Cili Hijau – 1, 2 genggam direndam dalam air panas bersama garam serta air kapur (optional)
- Minyak Masak – perlukan sekurang-kurangnya 1 kampit plastik (untuk kisar bahan serta menumis)
Cara Memasak:
1. Panaskan minyak masak dan masukkan bawang, halia, bawang putih yang telah dikisar. Tumis sehingga betul-betul layu (ambil masa kurang-kurang 10-12 Minit).
2. Masukkan cili kisar dan gaul rata. Pastikan selalu dikacau untuk mengelakkkan dari melekat di dasar periuk. Masak sehingga betul-betul pecah minyak dan garing. Ini fasa yang penting dalam memasak pes acar atau sambal supaya kurang rasa pedas dan tahan lama.
3. Seterusnya, masukkan rempah kari daging, gaul rata dan sekali lagi kena masak sehingga rempah masak sempurna. Masukkan gula dan cuka Jalen, gaul-gaul rata, warna pes akan bertukar merah-merah gelap masa ni. Rasakan masam dan manis dan lakukan pelarasan tambah gula atau cuka jika perlu.
4. Masukkan ikan talang masin yang sudah siap digoreng tadi dan gaul rata. Masukkan garam secukupnya serta serbuk perasa jika suka. Gaul-gaul dan rasakan sekali lagi dan boleh tutup api. Biarkan suhu pes turun ke tahap suam sebelum ke fasa seterusnya.
5. Bila suhu pes sudah suam boleh masukkan cili api hijau, gaul-gaul. Bila pes suam-suam kuku baru masukkan semua buah jeruk serta kurma. Ini bagi memastikan buah cherry jeruk kekal rangup dan sedap dimakan. Gaul rata.
6. Acar ikan talang masin siap dimasak, paling bagus biarkan sehari baru dimakan (nak makan terus pun boleh) supaya semua bahan mesra dan lebih sebati. Selamat Mencuba Resepi Istimewa ini.
Resepi Oleh: Roslan Eusof