Puding Roti Pisang Karamel Bersama Sos Kastad
Saya kongsikan di sini resipi Puding Roti Pisang Karamel Bersama Sos Kastad. Resipi asal puding ni sebenarnya saya dapat dalam group FB lain 3 tahun lepas. Tak ingat dah siapa, tapi resipi yang saya kongsikan ni saya dah adjust sikit bahan ikut tekak saya dan nak bagi kick lagi. Apapun, semoga murah rezeki pemilik resipi asal, resipi yang saya bagi betul ya sukatannya. Sukat guna measuring cup dan spoon ok.
Bahan Puding:
- 12 keping roti (setiap keping dipotong empat)
- 2 cup susu Full Cream
- 1/3 cup gula pasir
- 2 biji telur gred A (dibuang punat supaya tak hanyir)
- 1 tsp esen vanila
- 4 tbsp marjerin (2 sudu untuk untuk susu celupan roti & 2 sudu untuk karamel)
- 1/2 cup gula perang
- 8 biji pisang berangan/montel/rastali dipotong bulat-bulat (pisang emas atau lemak manis pun boleh, tapi kena banyaklah sikit)
- 90gm kismis hitam (nak kismis kuning pun boleh je)
Cara Membuat:
1. Satukan 2 tbsp marjerin dan gula perang dalam loyang dan panaskan atas dapur dengan api yang kecil sehingga cair dan keperangan. Lenggangkan loyang agar karamel memenuhi permukaan loyang (saya guna loyang bulat 10″).
2. Susun pisang atas permukaan karamel sehingga memenuhi permukaan loyang. Taburkan sedikit kismis, rehatkan loyang seketika (hati-hati masa susun pisang sebab karamel tu panas).
3. Cairkan baki 2 tbsp marjerin atas api. Satukan marjerin cair, gula pasir, telur dan esen vanila dalam satu bekas. Kacau rata hingga larut. Kemudian masukkan susu dan kacau hingga sebati.
4. Celupkan kepingan roti dalam susu dan susun dalam loyang di atas permukaan karamel tadi. Kemudian susunkan pisang dan taburkan kismis (ulang proses ni sampai roti habis, lapisan roti yang akhir tak perlu susun pisang dan tabur kismis ya).
5. Tuangkan baki susu tadi ke dalam loyang. Biarkan dalam lima minit agar roti kembang dan lembut. Kukus puding selama 30 minit dengan api besar (pastikan pengukus dipanaskan terlebih dahulu dan penutupnya diikat dengan kain).
6. Terbalikkan puding ke dalam pinggan ketika suam supaya karamel tidak keras dan pisang tidak melekat. Sejukkan dalam peti ais untuk rasa yang lebih enak bila dimakan dengan sos kastad.
Bahan Sos Kastad:
- 1 tin susu cair
- 1/2 cawan air
- 2 tbsp tepung kastad
- 4 tbsp gula pasir
- 1 tsp esen vanila
- 1/2 tsp garam halus
Cara Membuat:
1. Satukan semua bahan. Kacau sebati semua bahan terlebih dahulu sebelum dimasak atas dapur.
2. Masak atas dapur dengan api sederhana (kacau sentiasa sehingga sos sedikit pekat).
3. Sejukkan dalam peti ais untuk rasa yang lebih enak apabila dihidangkan bersama puding roti.
Resepi Oleh: Nor Azaliza Tarmizi