Puding Blueberry Cincau Nampak Cantik Dan Sedap
Ada yang masih tidak tahu buat Puding Blueberry Cincau ini? Saya kepilkan sekali langkah demi langkah membuatnya. Bukan saja cantik malah sedap tau. Jom masak!
Bahan-Bahan:
- 20gm agar-agar tali
- 5 1/2 cawan air
- 1 cawan gula
- 1 tin susu cair
- 2 helai daun pandan – simpulkan
- Cincau (dipotong dadu kecil)
- Secubit garam
- Pewarna blueberry emulco/blueberry oil base
Cara Membuat:
1. Masak air bersama agar-agar hingga larut. Kemudian, masukkan gula dan daun pandan. Masak hingga gula larut. Perlahankan api.
2. Ambil cecair agar-agar dalam 1 1/2 cawan dan tuang dalam bekas lain. Kemudian perisakan dengan Blueberry emulco, gaulkan rata dan sejukkan. Saya masukkan ke dalam esbok sekejap.
3. Setelah keras bolehlah dikeluarkan dan dipotong dadu kesemuanya. Kemudian masukkan ke dalam loyang. Susun cincau dan agar-agar blueberry yang dipotong tadi dalam loyang bersaiz 8×8. Saya tiada cincau, jadi saya hanya masukkan potongan agar-agar saja. Kemudian ketepikan.
4. Besarkan semula api dan masak kembali lebihan agar-agar tadi. Tuang susu cair dan masukkan garam. Kacau dan kacau hingga sebati. Ambil cecair agar-agar bersusu tadi dalam 3 cawan. Tuang perlahan-lahan dalam loyang berisi agar-agar blueberry. Biarkan hingga sederhana beku.
5. Warnakan lebihan cecair agar-agar di dalam periuk tadi dengan Blueberry emulco. Setelah sederhana beku bolehlah tuangkan perlahan-lahan bancuhan ungu di atas agar-agar susu. Bekukan di dalam peti sejuk.
6. Setelah keseluruhan agar-agar keras, terbalikkan perlahan-lahan di atas bekas atau alas rata dan potong mengikut citarasa anda. Boleh lah dipotong agar-agarnya menggunakan pisau panjang. Cantikkan? Macam marmar. Sayang nak potong.
Puding ini sedap bila dimakan sejuk! Mudah pun mudah. Kita close up sikit. Begini lah keadaannya. Anak-anak suka makan. Sekejap je dah habis. Nak buat hantaran pun boleh, sebab lawa kan.
Guna Pewarna Blueberry Emulco Jenis Ni >> KLIK DI SINI
Resepi Oleh: Nurhayati Abd Malek