Resepi Ayam Masak Sambal Air Tangan Ibu Mertua
Lama dah tak share resepi di sini. Ada saja macam biasa, tetap masak-masak, macam selalu. Ni lauk kegemaran kami. Saya belajar masak lauk ni dengan ibu mertua saya. Memang kalau ada lauk ni, bertambah-tambah nasi semua yang di meja. Susah nak kawal. Walau saya selalu buat lauk ni, tak dapat nak lawan air tangan emak. Buatlah guna bahan sama, cara masak sama rasanya tetap lebih istimewa kalau dari dapur emak.
Saya kongsikan resepi yang saya catatkan berdasar pemerhatian 30 tahun memasak bersama emak. Semoga Allah gandakan pahala dan kebaikan untuk emak-emak kita (ibu kandung juga mertua), atas segala ilmu dan kasih-sayang yang mereka curahkan pada kita, Aamin.
Bahan-Bahan:
Ayam seekor dipotong 12 – Basuh buang lemak lebihan, gaul dengan garam dan limau nipis/limau kasturi. Biarkan 5-10 minit. Basuh bersih, toskan. Gaulkan ayam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Goreng separuh masak. Angkat dan toskan.
Bahan Blend:
- 1 biji bawang besar (atau 10-12 biji bawang merah)
- 2 ulas bawang putih
- Sedikit halia
- Sedikit lengkuas
- 2 batang serai
- Segenggam cili kering yang dah direbus lembut
- Sedikit belacan (optional)
– Blend hingga halus
Bahan Lain:
- Sedikit sos tomato
- beberapa helai daun limau purut
- Sedikit air dan garam.
Cara Memasak:
1. Dalam kuali dan minyak yang sama hasil menggoreng ayam (kurangkan minyak gorengan), panaskan minyak dan masukkan bahan-bahan yang telah diblend halus. Tumiskan bahan tadi hingga betul-betul garing dan wangi. guna api sederhana dan kacau selalu. Jangan biar hingga hangus atau melekat di kuali, nanti pahit kuah sambal.
2. Bila bahan tumisan telah wangi dan masak (dalam 15-20 minit), tambahkan 1/2 cawan air. Kacau rata dan biarkan tumisan pecah minyak kembali. Buat seperti ini beberapa kali sehingga sambal tidak lagi ada rasa pahit, lada atau bawang belum masak.
3. Bila sambal telah masak dan pecah minyak sekali lagi, masukkan sos tomato, garam dan air, kacau rata. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau rata. Jika terlalu kering tambah lah sedikit air untuk dapatkan kepekatan yang dikehendaki.
4. Akhir sekali, masukkan daun limau purut yang telah dicarik. Kacau elok, rasa dan adjust apa yang patut. Matikan api. Hidang dengan nasi panas.
Makan Dengan Sambal Minang Ni Pun Sedap Juga >> https://shope.ee/9zXSexRoai
Resepi Oleh: Ida Alina Salleh