
Nasi Vindaloo Ayam Dengan Salad Sayuran Raita
Selalu nampak orang kongsi resepi Nasi Kari Kambing segera dekat grup-grup masakan. Macam best pula nak cuba, tapi nak buat kelainan sedikitlah dan tambah hidangan sampingan yang padu!.
Saya gunakan Ayam Vindaloo Yeo’s. Kalian nak gunakan jenama apa-apa pun boleh. Boleh pilih masakan lain seperti kari dan rendang. Malah boleh pilih lembu, kambing, ayam, dan sebagainya.
Bahan-Bahan: (2-3 orang makan)
- 2 cawan beras
- 2 tin Ayam Vindaloo (atau pilihan lain)
- 2 biji tomato
- 5 ulas bawang merah kecil
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 biji timun
- 1 tangkai daun ketumbar
- 2 pek kecil yogurt
- 1 tangkai cili merah
- air dan garam secukup rasa
Cara Memasak:
1. Tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan halia sampai nak aroma dia. Sekarang kita masukkan tomato yang telah dibelah 4 ke dalam kuali ni. Masak sampai tomato jadi lembut sikit.
2. Masukkan hidangan dalam tin tadi, ke dalam kuali tumisan. Masakan berempah Asia Selatan ni ada banyak jenis: vindaloo, karahi, rogan josh, varuval dan sebagainya, tapi semua kita bantai panggil kari. Hehe.
3. Kalau dah mula mendidih, dah boleh kita rehatkan dia sebentar, dan kita uruskan beras. Cuci beras; boleh gunakan beras biasa, tapi kalau nak sedap, gunakan Basmathi.
4. Masukkan ayam/daging tadi dalam periuk nasi, letak air pada sukatan yang sesuai. Kalau beras saya guna nisbah 1 beras : 1.5 air. Jika Basmathi, 1 beras : 2 air. Kalau otai, guna jari . Kalau mahaguru, pakai tilik mata je. Apapun, jangan lupa nyalakan periuk nasi!.
5. Ini bahan-bahan untuk buat raita. Raita adalah salad sayuran yang dicampur dengan yogurt. Nasi berempah, kalau tiada padanan yang masam dan sejuk macam raita ni, dia tak lengkap.
6. Kita potong dadu semua bahan-bahan tadi, cili kita hiris dan masukkan dalam mangkuk. Jangan kecil sangat , jangan besar sangat. Buat sedang-sedang elok, kalau makan, masih rangup timun tu.
7. Letak sedikit bahan kimia natrium klorida ni untuk merangsang tunas rasa pada lidah. Tanpa bahan ni, pasti raita ni jadi tak sedap. Mana nak dapat bahan ni? Pergi kedai runcit, cari pek yang bertulis “garam”.
8. Ahkir sekali masukkanlah kita punya yogurt atau dahi. Bukan dahi yang atas kening tu tau! Dahi ni susu masam. Ada orang panggil tairu. Nak letak sayuran lain? Boleh! Ni ada lebihan tomato, saya masukkan. Letak epal pun boleh. Mangga pun boleh. Nenas? OK juga!
9. Tutup dengan cling warp, dan simpan dalam peti sejuk sementara nasi siap ditanak. Raita ni sesuai dihidang sejuk. Nasi panas dan berempah, lawan raita yang sejuk dan masam.
10. Tiba masanya kita satukan pasangan Nasi Vindaloo Ayam dengan raita di atas pelaminan! Ni penyatuan yang boleh bawa kita ke syurga dunia. Tambah pula kalau ada acar buah!.
Resepi Oleh: Kamarul Ariffin Nor Sadan