Kuih Beger Malaysia Hot Selling Masa Niaga
Assalammualaikum. Kali ni nak share resepi bege malaysia. Kuih ni adalah salah satu hot selling saya. Kuih ni saya belajar sendiri, yang ni mak tak ajar. Bancuhan ni boleh guna untuk buat donat dengan pau goreng juga ye. Bagi resepi siap-siap nanti kesian orang dok tanya. Jom baca karangan saya untuk hari ini. Untuk bancuhan ni boleh dapat dalam 30-40 biji bergantung pada size bulatan tepung ye.
Bahan-Bahan:
- Tepung gandum cap ros 1 peket
- Mauripan 1 peket
- Gula 2 sudu besar
- Garam halus 1 sudu kecik (memang kena garam halus ye)
- Susu pekat 1/2 tin
- Margerin 2 sudu besar (nak cairkan pon tak pe tapi jangan lebih sebab nanti bila goreng akan serap minyak)
- Air suam (coway atau air suam-suam kuku ye) 500 ml
- Timun (nak potong takut tebal, Saya sagat je)
- Sambal (sambal saya memang kosong sebab ramai customer tak suka dan alah dengan ikan bilis, jadi gatal-gatal)
Cara Membuat:
1. 500 ml air suam (saya isi dalam jug kecil), mauripan 1 peket dan gula dia satukan. Kacau sampai larut dan biarkan dalam 15 hingga 20 minit atau jadi berbuih. Kenapa kena tunggu sampai jadi macam tu sebab nak pastikan yis tu hidup. Kalau dalam 15-20 yis naik sikit ye potensi yis tu tak elok adalah tinggi. Nanti tak ada la membazir tepung bila dah bancuh tiba-tiba tepung tak naik or kembang.
2. Sementara tunggu mauripan kembang, boleh sediakan tepung. Masukakan tepung, garam serta margerin dan gaul kan. Gaul guna tangan ye senang untuk bagi margerin tak berketul. Bila mauripan dah kembang, masukkan susu pekat dalam tepung dan gaulkan. Bila dah jadi macam ketul-ketul, boleh masukkan air bancuhan mauripan tu semua. Uli sampai sebati (jika adunan terlalu lembik, boleh tambah tepung dalam 1 atau 2 genggam.).
3. Bila dah jadi doh dan dah sebati (resepi saya, doh memang akan lembik sikit ye, tapi nanti dia kembang dan nak bentukan senang. Tapi kalau tak nak lembik, tambah je tepung janji adunan tak keras). Bila dah siap, tutupkan dengan kain lembap. Tunggu dalam 30 minit atau tepung kembang 1 kali ganda.
4. Bila tepung dah kembang, kalau nampak lembik lagi tepungnya tabur la segeggam tepung lepastu tumbuk-tumbuk tepung bagi keluar angin dan uliuli sikit. Buatkan bulat-bulat seperti size bola pingpong atau golf. Waktu bulatkan tu tangan salut sikit tepung gandum supaya tepung yang dibancuh kurang melekat di tangan. Nanti tekan sikit tepung yang dibulatkan supaya nanti nak menggoreng dia tidak terlalu bulat dan senang untuk diterbalikkan.
5. Panaskan minyak dan minyak perlu banyak. Bila dah panaskan minyak (api besar ye) dan tepung yang dalam talam dah kembang boleh masukkan dalam kuali 1 per satu sehingga penuh permukaan kuali. Jangan bagi bertindih ye.
6. Duduk je depan kuali sebab biasanya dalam 2-3 minit kena terbalikkan. Api biar je besar, kalau tak yakin guna api sederhana. Ikut la nak warna coklat pudar atau gelap, tapi kena pastikan gelembung-gelembung minyak disekeliling kuih dah berkurangan tu tandanya tepung kat dalam dah masak.
7. Bila dah bewarna coklat boleh la angkat, toskan dalam penapis. Bila dah siap masak semua boleh la belah dan isi timun serta sambal. Saya belah guna gunting je senang, kalau guna pisau kang penyek-penyek bege tu nanti.
Nota Penting:
- Kalau adunan sikit, minyak dalam kuali boleh dipanaskan setelah selesai bulatkan semua tepung. Sekiranya adunan banyak macam resepi yang saya bagi, minyak perlu dipanaskan apabila talam pertama sudah siap dipenuhi tepung yang dibulatkan. Kerana dalam masa minyak nak panas tu biasanya tepung dalam talam dah naik cantik, kira dah kembang sekali ganda.
- Kalau tepung tak kembang lagi tunggu je lagi 5 minit dan kecikkan api sekiranya minyak sudah panas. Kenapa kena panaskan minyak awal sebab kalau adunan banyak?. Potensi tepung dalam talam untuk terlebih naik akan terjadi. Bila terlebih naik ada dua kemungkinan akan terjadi, iaitu tepung akan mengecut bila dimasak dan susah untuk dipegang untuk dimasukkan ke dalam kuali, kedua kuih akan serap minyak dah berongga serta kosong di bahagian dalam.
- Untuk mengekalkan kelembutan kuih supaya tahan lama tolong jangan bagi kena angin kipas. Biar sejuk sendiri, bila dah sejuk isi dalam bekas dan pastikan sentiasa tertutup.
- Kenapa saya guna api besar sebab nanti cepat masak dan memang akan lembut dan potensi tepung nak serap minyak pon rendah.
Resepi Oleh: Ain Hata