Kek Pisang Moist Dalam Bekas Mini
Assalamualaikum. Hari ni saya share resipi kek pisang dalam bekas mini. Sesuai untuk jualan. Antara resipi yang paling banyak kali saya ajar secara personal. Kek ni bolehlah dijual antara RM7-RM8/ bekas.
Resipi ni boleh dapat 4 bekas kek. Tapi, masa hari kejadian, satu bekas dah disambar masa panas-panas lagi. Tak sempat nak tunggu sejuk dan join photoshoot. Sebenarnya, bila dapat sesuatu resipi, kita kenalah jadi kreatif dan tak takut mencuba. Barulah kita boleh variasikan produk. Itulah satu perkara yang saya selalu praktikkan.
Bahan-Bahan: 4 bekas aluminium saiz 175mm x 95mm x 48mm (Kod: 6382)
- 1 cawan pisang yang telah dilecek (3 1/2 biji pisang abu)
- 1 sdb jus lemon/limau nipis/limau kasturi
- 4 biji telur (A)
- 1 cawan minyak jagung
- 3/4 cawan gula kastor
- Sedikit emulko pisang/ vanila
- Secubit garam
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- 1 sdt soda bikarbonat
- 1 sdt serbuk penaik (baking powder)
Cara Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 170°C dengan api atas dan bawah. Gris nipis bekas aluminum. Ketepikan. Ayak tepung gandum, soda bikarbonat dan serbuk penaik. Ketepikan.
2. Campurkan jus lemon ke dalam pisang lenyek. Gaul sekata. Ketepikan. Kisar telur, minyak jagung, gula kastor, emulko vanila dan garam selama 6 minit. Kaup adunan dengan spatula sekali-sekala.
3. Masukkan pisang lenyek ke dalam pengisar. Kisar seketika (1/2 minit). Masukkan bahan kisar ke dalam tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit sambil digaul. Pastikan adunan bercampur rata.
4. Bahagikan adunan sama banyak ke dalam setiap bekas (200g+/ bekas). Bakar selama 35-45 minit atau sehingga masak. Setelah kek pisang masak, sejukkan pada suhu bilik.
Nota:
- Untuk hiasan, letakkan pisang yang dihiris nipis supaya tidak tenggelam di dalam adunan kek.
- Cucuk dengan lidi pada bahagian tengah kek untuk memeriksa jika kek telah masak sepenuhnya. Jika lidi bersih dan tiada adunan yang melekat, bermakna kek telah masak dan bolehlah dikeluarkan dari oven.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah