Daging Masak Hitam Versi Sarawak Rugi Tak Cuba
Bila berhijrah di negeri orang ni, tak sah kalau tak belajar makan dan masak masakan mereka. Rugi tau!!. Saya baru 3 tahun berhijrah di Bumi Kenyalang mencari rezeki disini. Alhamdulillah syukur kepadaNya. Okay sebenarnya nak kongsi salah satu resepi masakan yang femes dan sedap disini. Pertama kali saya makan sudah jatuh cinta padanya. Terus cari bahan-bahannya kat pasar dan mencuba masak sendiri. Alhamdulillah, suami puji sedap macam orang sini yang buat. Di sini saya kongsi dan halalkan resepi “Daging Masak Hitam Versi Sarawak”.
Bahan Perapan:
- Daging 1/2kg
- 2-3 sudu besar Kicap pekat
- 2-3 sudu besar gula apong (bahan rahsianya) >> https://shope.ee/7A6fL8ddti
+ Perap selama 1 jam.
Bahan Kisar:
- 1 labu bawang besar
- 5 biji bawang merah
- 3-4 ulas bawang putih
- 2-3 batang serai
- 1 inci lengkuas
- Segenggam cili kering
+ Blend hingga sebati dan lumat.
Bahan Tumis:
- Rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga)
- 3-4 biji bawang merah dimayang
Bahan Tambahan:
- Sedikit Air asam jawa
- 2-3 sudu besar Serbuk rempah kurma
- Garam secukup rasa
- Perasa masakan – kalau nak letak
- Air putih
- Kicap cair
Cara Memasaknya:
1. Tumiskan bahan tumis sehingga keperangan. Kemudian masukkan bahan kisar tadi. Kacau sebati hingga naik bau. Dah naik bau, masukkan serbuk rempah kurma dan kacau sehingga pecah minyak. Kena kacau selalu takut dia hangit nanti.
2. Bila dah nampak pecah minyak tadi, masukkan sedikit air asam jawa dan kacau sebati. Kemudian masukkan daging yang sudah diperap tadi ke dalam kuali dan kacau lagi. Kalau rasa tak cukup hitam tambahkan kicap. Kalau rasa nak berkuah sikit boleh tambah air putih.
3. Boleh tambahkan sedikit garam dan perasa masakan. Kacaulah sehingga daging betul-betul masak. Dah boleh hidang atas pinggan yang cantik.
Ini gambar pertama kali saya masak daging masak hitam versi sarawak. Maaf jika tak cantik rupanya. Yang penting rasa keasliannya. Sedap yang amat. Selamat mencuba ibu-ibu.
Resepi Oleh: Siti Syuhada