Sambal & Pencicah

Cara Mudah Buat Garlic Chili Oil

cara-mudah-buat-garlic-chili-oil

Cara Mudah Buat Garlic Chili Oil

Garlic Chili Oil sesuai untuk dimakan bersama bubur, sup ayam dan cicah untuk dumpling. Pagi-pagi dah dapat panggilan dari kawan di Kuantan, mengadu chili oil dia asyik tak jadi je. Kenapa hitam? Dah tengok tutorial di youtube pun masih jadi hangit. Bila saya tanya betul-betul cara dia masak, saya rasa takde masalah pun tapi kenapa chili oil dia cepat hangit.

Saya minta dia tunggu sekejap, saya ke dapur. Tak sampai 10 minit siap chili oil saya. Mudah je, cuma guna 3 bahan. Paling penting untuk masak chili oil ni, api tak boleh besar. Dulu saya buat berniaga garlic chili oil ni, makin lama permintaan semakin tinggi saya pula tak larat nak buat banyak-banyak dalam satu masa. Jadi saya stop. Saya kongsikan resepi je senang, semua orang boleh buat.

Bahan-Bahan:

  • 2 sudu besar chili flakes – Chili flakes yang saya guna ni, chili flakes korea (Gochugaru). Sebelum ni saya guna chili flakes yang biasa, ada jual dipasar jenama Meriah – RM2 je. Sedap.
  • 4 sekawan – Cengkih, Bunga Lawang, Kulit Kayu Manis, Buah Pelaga
  • 7 ulas bawang putih
  • Garam

Cara Membuat:

1. 7 ulas bawang putih dicincang halus, lagi halus lagi rangup. Cincang ya, bukan tumbuk bukan kisar hancur macam pes tu. Boleh guna mesin kisar tangan atau manual.

2. Panaskan setengah cawan minyak masak atau minyak sayuran. Pastikan api kecil ya. Nak masak chili oil, api tak boleh besar nanti cepat hangus.

Cuba Resepi Ni:  Resepi Ayam Bersos Lemon

3. Masukkan dahulu 4 sekawan. Kemudian masukkan bawang putih, gaul dan masak. Masak bawang putih sehingga warna keemasan. Bukan warna keperangan ya sebab kita tak nak garlic kita rasa pahit.

4. Masukkan chili flakes dan 2 cubitan garam halus untuk rasa sedikit masin. Kemudian terus padamkan api, jangan masak terlalu lama sebab nanti chili flakes mudah hangus kehitaman.

5. Siap. Simpan dalam botol setelah chili oil sejuk. Saya simpan pada suhu bilik, boleh tahan selama 2 minggu. Pastikan paras minyak melebihi chili flakes ya.

Cara Mudah Buat Garlic Chili Oil

Resepi Oleh: Zurina Zulkefli