
Bubur Pulut Hitam Lebih Enak Dimakan Sejuk
Harini, saya masak bubur pulut hitam. Favourite dessert ni. Lagi-lagi yang sejuk. Kalau yang panas, saya tak heran pun.
Resipi saya ni khas bagi sesiapa yang tak ada pressure cooker dan yang seangkatan dengannya. Sebab tu saya rendam dulu beras pulut tu. Kalau anda ada pressure cooker, silakan ikut cara masing-masing. No problem dan tak perlu pertikai dengan cara orang lain.
Sos santan tu pulak, nak buat atau tak buat terpulang kepada kesukaan masing-masing. Saya buat sebab nak hasilkan presentation makanan yang cantik seiring dengan rasanya yang sedap (insyaallah).
Bahan-Bahan (4 orang):
- 1 cawan beras pulut hitam
- 4-6 cawan air
- 1-2 helai daun pandan (simpul)
- 1/4 cawan gula Melaka/ gula merah/ gula perang
- 1/2 cawan gula pasir
- 1/2 sdt garam halus
- 1/2 cawan (1/2 kotak kecil) santan pekat
Bahan Sos Santan:
- 1 cawan (1 kotak kecil) santan pekat
- 1/4 sdt garam halus
- 1 helai daun pandan (simpul)
Cara Penyediaan:
1. Bilas beras pulut hitam. Rendam semalaman atau 4-6 jam. Toskan beras pulut hitam dan masukkan ke dalam periuk bersama dengan air serta daun pandan.
2. Rebus beras pulut hitam sehingga empuk. Tambahkan air jika air rebusan hampir kering dan beras pulut hitam masih belum empuk. Setelah beras pulut hitam empuk, masukkan gula Melaka, gula pasir, garam dan santan.
3. Kacau rata dan biarkan bubur mendidih. Masak dengan api sederhana-perlahan supaya santan tidak pecah minyak. Sejukkan sebelum dihidangkan.
4. Untuk buat sos santan, masukkan kesemua bahan ke dalam periuk. Renehkan seketika. Sedia untuk digunakan.
Nota: Dalam resipi ini, saya menggunakan 6 cawan air. Saya masukkan air sebanyak 2 kali (3 cawan + 3 cawan) semasa proses merebus beras pulut hitam.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah