Nasi

Set Nasi Kukus dengan Ayam Goreng Berempah

set-nasi-kukus-dengan-ayam-goreng-berempah

Set Nasi Kukus dengan Ayam Goreng Berempah

Kalau nak makan nasi bajet, mesti set nasi kukus yang dicari. Kalau dulu, harganya RM5.00 sebungkus di Lembah Klang. Itu cerita beberapa tahun lepas ketika saya masih lagi bekerja di sana.

Sekarang ni pun, kalau nak makan nasi kukus, biasanya adik saya akan beli sahaja. Maklumlah, yang nak makan pun cuma kami dua beradik. Kalau ikutkan saya, memang saya lebih suka untuk masak dari keluar pergi membeli di gerai yang menjualnya.

Harini, saya berpeluang untuk masak sendiri. Well said, makanan yang dimasak sendiri is the best. Tapi kenalah masak betul-betul sampai menjadi. Baru boleh dikatakan the best.

Tqvm kak @surianti_kitchen yang sudi berkongsi resipi set nasi kukus bersama dengan ayam goreng berempah dengan detail sekali. Memang puas makan sekali dengan gulai yang penuh dengan aneka sayur serta ulam timun & sambal cilinya.

Bahan Ayam Goreng:

  • 3 biji bawang kecil*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 1 inci halia*
  • 2 batang serai*
  • 1 sdb ketumbar**
  • 1 sdb jintan manis**
  • 1 kg (6 ketul) ayam
  • 1 sdb serbuk kari ayam
  • 1 sdb serbuk kunyit
  • 1 sdb serbuk cili
  • 1-2 sdb tepung jagung/tepung beras
  • Daun kari
  • Garam secukupnya

Cara Memasak:

1. Kisar bahan bertanda (*). Sangai dan tumbuk halus bahan bertanda (**). Satukan kesemua bahan ke dalam mangkuk. Lumur rata pada ayam.

2. Perapkan ayam selama 1/2 jam atau lebih. Panaskan minyak masak. Masukkan ayam dan rempah. Goreng sehingga ayam masak dan rempah garing. Toskan minyak berlebihan.

Bahan Nasi Kukus:

  • 3 cawan beras
  • 3 cawan air
  • 2 helai daun pandan (simpul)

Cara Memasak: Masukkan beras yang telah dicuci, air dan daun pandan ke dalam bekas. Kukus sehingga nasi masak (lebih kurang 30 minit).

Bahan Gulai:

  • 1 biji bawang besar*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 1 inci lengkuas*
  • 1 inci halia*
  • 1 bungkus kecil rempah kari ayam**
  • 1/2 bungkus kecil rempah kerutuk**
  • 1 batang kulit kayu manis***
  • 2 kuntum bunga lawang***
  • 3 biji buah pelaga***
  • 4 biji bunga cengkih***
  • 300g tulang & isi ayam
  • Air secukupnya
  • 1 cawan santan sederhana pekat
  • Kentang
  • Lobak merah
  • Kacang panjang
  • Terung
  • 1 keping asam gelugur
  • Sedikit gula Melaka/gula nisan
  • Garam secukupnya
Cuba Resepi Ni:  Soto Sambal Hitam Padu Mudah dan Sedap

Cara Memasak:

1. Kisar bahan bertanda (*). Bancuh bahan bertanda (**) dengan sedikit air sehingga menjadi pes. Panaskan minyak. Masukkan bahan bertanda (***). Biarkan seketika.

2. Masukkan pula bahan kisar. Tumis sehingga harum. Masukkan pula pes rempah. Kacau rata dan Masak seketika sehingga naik bau. Masukkan ayam dan biarkan sehingga masak.

3. Setelah itu, masukkan kentang dan lobak merah. Masukkan air sehingga sama paras dengan kentang dan lobak merah. Biarkan sehingga kentang dan lobak merah empuk.

4. Masukkan santan dan asam gelugur serta perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Masukkan kacang panjang serta terung. Biarkan masak seketika. Sedia untuk dihidangkan.

Bahan Sambal Cili:

  • 5-7 batang cili merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 inci belacan
  • 3 biji limau kasturi

Cara Membuat: Tumbuk cili, bawang putih dan belacan. Perahkan limau kasturi. Kacau sehingga sebati.

Bahan Ulam: Timun – Potong timun mengikut citarasa masing-masing.

Set Nasi Kukus dengan Ayam Goreng Berempah

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah