
Beriani Ayam ala Pakistan Tak Berkuah Tapi Sedap
Bila buat makan-makan tapi bukan di rumah, saya suka buat Biryani Ayam style Pakistan. Tak berkuah tapi sedap berperisa dan wangi bila dibuka penutup bekas. Nak makan pun senang. Saya guna rempah beriani jenama Shan. Rasanya di Malaysia pun ada tu. Resepi Beriani Ayam ala Pakistan ni untuk 12 orang.
1. Perapkan Ayam. Mula-mula perapkan 2 ekor ayam yang dah dipotong 12 dengan:
- 1 peket rempah beriyani Shan
- 2 sudu teh serbuk ketumbar
- 1 sudu teh serbuk jintan putih
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- 1 biji buah pala segar (sagat halus)
- 1 cawan yogurt asli
- 1 sudu besar minyak masak
- Sedikit gula (untuk balancekan masam yogurt)
Gaul semua dengan Ayam dan perapkan antara 2 jam atau semalaman. Rempah beriyani Shan dah siap bergaram, jadi saya tak tambah garam lagi. Kalau rempah yang diguna tidak ada garam, boleh tambah.
2. Buat bawang goreng, dan goreng kentang:
Sementara tu, hiris 4 biji bawang besar dan goreng dalam minyak campur dengan sedikit butter atau minyak sapi hingga perang. Tepikan. Dalam minyak yang sama, goreng 2 biji kentang yang dihiris tidak terlalu nipis hingga masak. Tepikan.
3. Siapkan bahan untuk Lauk beriyani
Rempah bulat:
- 3 helai bay leaves India
- 6 bunga lawang
- 2 inci kulit kayu manis
- 10 bunga cengkih
- 10 buah pelaga
- 1 sudu kecil jintan putih
- 1 sudu kecil lada hitam
Lain-lain bahan:
- 1/4 cawan minyak masak
- 2 sudu besar minyak sapi
- 3 biji bawang besar hiris nipis
- 8 biji bawang putih (tumbuk halus)
- 1 inci halia (tumbuk halus)
- 3 biji tomato segar potong dadu
- 2 atau 3 biji lada hijau belah dua
- Sedikit apricot kering (jika suka)
- Garam
- Air
- Sedikit jus lemon
4. Cara menyediakan lauk beriyani:
Panaskan minyak dan minyak sapi (saya guna balik minyak goreng bawang dan kentang). Goreng bawang hiris hingga betul-betul perang gelap dan wangi (lama juga, dalam 15-20 minit ya).
Masukkan 1/4 cawan air. Masakkan hingga air kering. Masukkan rempah-rempah bulat, bawang putih dan halia. Tumis 2 minit hingga wangi. Masukkan Ayam dengan perapannya sekali. Masak dan kacau-kacau hingga berubah warna dalam 4-5 minit.
Masukkan tomato cincang dan cili hijau serta apricot hiris jika gunakan. Kacau elok-elok. Masukkan air hingga agak-agak 1/3 Ayam terendam. Kacau rata, biarkan menggelegak manja. Perlahan kan api, masak Ayam dalam periuk bertutup dalam 30 minit. Kacau sekali-sekala agar tak berkerak.
Selepas 30 minit, buka penutup periuk dan pekatkan kuah hingga lauk mula cantik pecah minyak. Masukkan jus lemon dan adjust rasa. Matikan api, biar lauk menyejuk sebentar.
5. Siapkan nasi rebus:
Rendam 7 pot beras basmathi dalam 20 minit, saya guna Basmathi jenama Daawat. Didihkan air yang banyak dalam periuk besar. Masukkan garam, daun pandan dan jus sebiji lemon.
Bila air dah mendidih, toskan beras, masukkan beras dalam air mendidih. Tunggu hingga air mendidih semula, Masakkan beras 4 minit. Toskan beras. Ketepikan.
6. Siapkan Bahan untuk melapis nasi:
Sapu sebuah periuk tahan panas dengan sedikit minyak sapi. Hiris daun ketumbar dan daun pudina.
Rendam sedikit saffron dalam susu segar suam. Bawang goreng yang dah dibuat awal, dan kentang goreng.
7. Cara melapis beriani ayam:
Panaskan oven 180 darjah Celcius. Pada dasar periuk susun kentang goreng semuanya. Renjis sedikit kuah beriyani atas kentang. Letak selapis nasi atas kentang.
Renjiskan susu dan saffron sedikit atas nasi, letak daun ketumbar dan pudina, tabur sedikit bawang goreng. Susun lauk ayam dan sedikit kuah atas nasi.
Letak lagi nasi atas lauk ayam hingga terbenam. Renjis lagi susu, tabur daun-daun dan bawang goreng. Habiskan lauk ayam, tinggal kan sedikit lagi kuah untuk lapisan atas.
Letak nasi lapisan atas. Renjis susu saffron dan kuah ayam hingga habis, daun-daun, bawang goreng. Tutup periuk rapat-rapat. Bakar dalam oven antara 20-30 minit, rumah akan berbau amat wangi.
Keluarkan dari oven, bila nak makan baru di gembur lembut, tapi jangan guna garfu, kita tak mahu beras patah-patah. Hidang dengan raita dan papadom.
8. Resepi Raita:
Sagat 2 batang timun (tak payah buang kulit). Letak garam pada timun yang dah disagat. Biarkan 20 minit. Perah air timun hingga kering.
Tambah hirisan daun pudina segar dan serbuk lada hitam. Gaul dengan secawan yogurt asli. Biar dalam peri ais 20 minit sebelum dihidang.
Bahan Yang Digunakan:
Rempah Biryani Shan >> https://shope.ee/3V8wfmPeWB
Saffron Grade AAA >> https://shope.ee/6zioqHJVnk
Resepi Oleh: Ummu Ashraf