Ayam Masak Halia Menu Berpantang Orang Cina
Siapa yang tengah berpantang nie? Ok hari ni Amoijamu kongsikan satu menu yang kerap dimakan oleh orang Cina setelah bersalin iaitu Ayam Masak Halia. Tak berpantang pun boleh juga makan tapi jangan kerap pulak sebab panas.
Juadah ini memang senang nak disediakan dan memerlukan beberapa bahan yang asas sahaja tapi khasiatnya memang bagus. Antaranya;
- Menghangatkan badan. Maklumlah ibu lepas bersalin badan kerap sejuk atau boleh kena bentan.
- Melancarkan peredaran darah.
- Halia bagus untuk menyembuhkan luka jahitan dan memperbanyakkan susu badan.
Bahan Ayam Masak Halia:
- 1 ekor Ayam Kampung (dipotong)
Bahan Perap:
- 6 sudu besar Kicap Cair Masin
- 4 sudu besar Kicap Pekat
- 1 sudu besar Sos Tiram
- 1 sudu besar Gula
- 1 sudu kecil Serbuk Lada Putih/Lada Sulah
Bahan Tumis:
- 7 sudu besar Minyak Bijian
- 1 tapak Halia Tua / Halia Bentong
- 4 sudu besar Kicap Cair Masin
- 100 – 150ml Air
Bahan Hiasan:
- Daun Bawang
Cara Penyediaan:
1. Perap dahulu Ayam dengan bahan perap. Biarkan 5 ke 10 minit. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan halia dan gaulkan sehingga naik bau.
2. Masukkan ayam yang diperap dan gaul rata. Biar sehingga separuh masak. Masukkan air dan biarkan mereneh selama 3 ke 4 minit.
3. Perasakan dengan kicap cair masin. Ikut citarasa dan gaul bahan hingga sebati. Siap untuk dihidangkan.
Nota:
- Juadah ini sesuai untuk mereka yang bersalin secara semulajadi atau czer.
- Kalau senang menyusu badan dan anak ada kuning, kurangkan sukatan halia. Makanan akan menyalur melalui susu badan dan khuatir terlalu panas untuk bayi.
- Untuk mereka yang berpantang, sila pilih Ayam Kampung .
- Untuk mereka yang berpantang, sila tinggalkan sos tiram dari resipi asal. Takut alahan atau gatal pada bekas luka.
- Elok pilih Halia Tua atau Halia Bentong. Ia lebih pedas.
Resepi Oleh: Amanda Tan