Ayam Goreng Korean Crispy Gochujang
Teringin makan untuk berbuka jadi kita buat sendiri Ayam Goreng Korean Crispy Spicy Gochujang. Kenyang sudah, Alhamdulillah. Yang nak cuba Cikgu Liza kongsikan resepi di bawah. Resepi untuk 25 ketul kepak ayam. Kalau nak buat sikit, kurangkan separuh sukatan.
Bahan Perapan Ayam:
- 25 ketul kepak ayam (buang hujung sayap dan potong kepada 2)
- 5 ulas bawang putih (tumbuk lumat/parut halus)
- 1 ruas ibu jari halia (tumbuk halus/parut)
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- Garam secukupnya
Cara Buat: Gaul semua bahan perap sekurangnya 30 minit, lagi lama lagi sedap.
Bahan Ayam Goreng:
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan tepung beras
- 1/2 cawan tepung ubi
- 1/2 cawan tepung jagung
- 1 sudu teh garam halus
- Ayam yang telah diperap
- Minyak secukupnya untuk menggoreng
Cara Buat:
1. Gaul semua tepung dan garam hingga sebati. Salutkan ayam dengan tepung. Goreng sehingga kulit ayam warna sedikit perang/separuh masak dengan minyak yang banyak (Pastikan minyak betul-betul panas baru masuk ayam, guna api yang sederhana, jangan goreng ayam sekali banyak sebab suhu minyak akan turun).
2. Kemudian goreng sekali lagi hingga ayam masak dan berwarna keemasan dan toskan (Tujuan goreng dua kali nak bagi ayam rangup kat luar dan lembap kat dalam).
Bahan Sos Ayam:
- 2 1/2 sudu makan sos gochujang (Boleh lebihkan kalau nak pedas lagi, kat Aeon/Village Grocer/Tesco/Shopee ada jual yang halal)
- 3 sudu makan minyak masak
- 5 ulas bawang putih cincang halus
- 5 sudu makan sos manis ABC
- 3 sudu makan kicap manis
- 1 sudu makan cuka
- 2 sudu makan gula perang
- 4 sudu makan madu
- 1/2 cawan air
- Sedikit garam halus
Cara Buat:
1. Tumis bawang putih sampai naik bau, masukkan sos gochujang dan kacau bagi garing sikit. Masukkan semua bahan lain kecuali madu, biar didih.
2. Masukkan madu dan kacau rata dan didih, kemudian tutup api. Salutkan ayam dengan sos guna berus. Boleh juga gaul dalam kuali tapi jangan gaul sekali banyak.
3. Agih sos kepada 3. Bahagi ayam kepada 3. Gaul sikit-sikit supaya ayam kekal rangup. Taburlah bijan dan daun bawang kalau suka.
Resepi Oleh: Nor Azaliza Tarmizi