Set Lengkap Resepi Nasi Kandaq Mamak
Fuh! sepetang nak siapkan nasi kandar. Teringin punyer pasal. Buat jugakla sendiri, nak resepi? Kat bawah ek. Sis follow yang ni, ada ubah sana sket ikut citarasa. Kredit resepi dari MAHN.
Resepi Kuah Kari Kaw Taruk Atas (kosong, tanpa ikan/ayam/daging)
Bahan-Bahan:
- 2 paket kecil serbuk rempah kari daging Babas
- 2 paket kecil serbuk rempah kari ikan Babas
- 1 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
+ Semua rempah & serbuk-serbuk dicampur dan gaul dengan air 1/2 cawan, kacau sebati.
Bahan Kisar:
- 1 biji bwg besar*
- 3 ulas bawang merah*
- 3 ulas bawang putih*
- 1 inci halia*
+ Semua bahan bertanda (*) diatas di kisar atau ditumbuk halus)
- 2 ketul kiub pati ayam
- Gula
- Garam
- Air asam jawa
- Air secukup nya
- Minyak 3/4 cawan
Bahan Tumis:
- 3 tangkai daun kari
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 1 sudu kecil halba campur
Cara Memasak:
1. Panaskan minyak dalam periuk, bila dah panas tumis bahan-bahan tumis hingga naik bau. Kemudian masukkan bahan-bahan kisar tadi. Bila dah harum, masukkan rempah-rempah dan serbuk cili serta kunyit yang dah di bancuh tadi.
2. Kemudian kacau-kacau hingga naik minyak, bila nampak rempah dah warna merah dan ada minyak diatasnya maka segera tambahkan air. Biarkan ia mendidih hingga sedikit kering, kemudian tambah lagi air dan biarkan ia mendidih sekali lagi. Proses ni yang akan menyedapkan kuah kari.
3. Selepas itu masukkan kiub pati ayam, gula, garam, pes asam jawa adabi 1/2 sudu besar atau kalau guna air asam jawa pekat letaklah 1 sudu besar.
4. Biarkan mendidih berkali kali sampai kuah pekat dan jadi sedap. Last sekali bila hampir selesai boleh bubuh lagi daun kari. Rasa dulu sebelum selesaikan masak ye. Dah siap kuah mamak dan boleh taruk atas nasi atau ayam.
Nota:
- Resepi kuah mamak ini hanya perlu buat jika anda buat ayam goreng mamak atau berempah sahaja tetapi jika anda buat kari ayam atau daging maka tak perlulah buat kari mamak lagi ye.
- Kari mamak ini juga jika suka anda boleh terus masukkan ayam atau daging semasa tumisan rempah dah masak tadi. Baru masukkan air.
- Kepada penggemar kaki ayam, boleh juga masukkan kaki-kaki ayam sahaja dalam kari kaw ni untuk beri perisa yang lebih umph pada kuahnya.
Masak Hitam Manis Mamak
Bahan-Bahan:
- 2 kiub pati daging maggi
- 1/2 cawan kicap
- 1/2 cawan sos tomato
- 3 sudu besar sos cili
+ Bahan Digoreng Tanpa Minyak dan Dikisar Kering:
- 2 sudu besar jintan manis
- 2 sudu besar jintan putih
- 3/4 sudu besar biji ketumbar
- 1/4 sudu besar lada hitam
Bahan Kisar Basah:
- 3 ulas bawang putih
- 4 biji bawang merah
- 1 inci halia
- 7 tangkai cili kering dikerat, direbus dahulu & dicuci bersih – toskan
Rempah Ratus Yang Lain:
- 3 tangkai daun kari
- 1 kuntum bunga lawang
- 2 inci kulit kayu manis
- 3 kuntum buah pelaga
- 1 sudu kecil pes asam jawa adabi
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak masak untuk menumis
Cara Memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis daun kari, bunga lawang, kayu manis, buah pelaga bersama bahan-bahan kisar basah sehingga naik bau. Kemudian, masukkan rempah-rempah kering yang dikisar tadi.
2. Masukkan kiub pati daging dan kacau hingga mesra. Masukkan sedikit air, perlahankan sedikit api dan biarkan hingga ia memekat.
3. Setelah pekat, masukkan asam jawa, garam, perasa, kicap dan sos tomato serta sedikit air panas. Masak sehingga kuah agak pekat dan mesra.
4. Rasa, sesuaikan rasa dengan citarasa yang anda inginkan. Siap dan boleh dihidangkan.
Nota:
- Untuk pengetahuan semua saya memang tak letak daging atau ayam pun dalam masakan hitam manis saya untuk menu nasi kandaq ni. Sama seperti kari kaw saya, saya cuma gantikan daging atau ayam dengan kiub pati daging, sebab saya cuma inginkan kuahnya, so saya masak kosong je.
- Kalau sesiapa yang suka boleh ikut cara saya, memang tak mengecewakan pun rasanya walaupun tanpa daging atau ayam didalamnya. Tapi kalau anda nak letak daging atau ayam takde masalah, boleh je.
Ayam Goreng Mamak
Bahan-Bahan:
- 1 ekor ayam – dipotong 8 & dicuci bersih
- 3 sudu besar tepung jagung
- 1 sudu besar tepung beras
- 1 sudu besar pes halia
- 1 sudu besar pes bawang putih
- 1 sudu besar rempah kari daging
- 1 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu besar kunyit serbuk
- 1 sudu kecil lada sulah
- 1 biji limau nipis
- 1 sudu kecil gula
- Garam secukup rasa
- Minyak yg banyak utk menggoreng
Cara Membuat:
1. Gaulkan tepung jagung, tepung beras bersama bawang putih dan halia. Gaul rata. Masukkan serbuk kari, serbuk cili, serbuk kunyit, lada sulah, garam, gula dan perahan air limau nipis. Kacau rata. Masukkan ayam dan sedikit air, perap selama 20-30 minit.
2. Gorengkan ayam secara deep fry ye, mula-mula masukkan ayam dan pastikan minyak betul-betul dah panas. Lepas ayam dah masuk, perlahankan api dan gorengkan hingga garing. Angkat dan toskan. Siap untuk dihidangkan, saya suka goreng size besar. Lepas goreng saya kerat-keratkan ala-ala macam kat kedai mamak.
Resepi Nasi Kuning
Bahan-Bahannya:
- 4 cawan beras basmathi (dibasuh dan ditoskan)
- 5 cawan air (guna cawan yang sama semasa menyukat beras)
- 1 sup bunjut
- 1 sudu kecil perasa Tumix Ayam
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu besar gula
- 1 sudu kecil pewarna kuning telur (yellow egg) – untuk menguningkan nasi
- Daun pandan disimpul
- 4 sudu besar margerin untuk menumis
- Bawang goreng
Bahan-Bahan B (ditumis):
- 1 biji bawang besar dicincang
- 2 biji bawang putih dicincang
- 2 inci halia dihiris nipis
- 2 inci kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga cengkih
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 1 batang serai dititik
Cara Penyediaannya:
1. Basuh beras dan toskan. Ketepikan. Panaskan periuk elektrik. Bila periuk telah panas masukkan margerin dan tunggu sehingga cair. Selepas itu tumis bahan-bahan B sehingga naik bau.
2. Masukkan 5 cawan air, sup bunjut, daun pandan, garam, gula, pewarna kuning, dan perasa Tumix ayam. Kacau rata dan tunggu sehingga mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau rata. Masak nasi seperti biasa menggunakan periuk elektrik. Bila nasi telah kering, kaup balikkan. Biarkan periuk elektrik dalam keadaan ‘warm’.
4. Semasa menghidang nasi, taburkan bawang goreng di atasnya, senang je (dalam gambar tu saya guna beras biasa je, sebab masa balik rumah mak ari tu beras buasa je yang ada).
Bahan Pelengkap Menu:
- Nasi Kuning
- Telur rebus
- Bendi -celur
- Poppadom
- Kubis goreng
Selamat mencuba set lengkap resepi nasi kandaq ala mamak yang sedap dan menyelerakan.
Resepi Oleh: Tuan Adriana Arissa
Resepi Asal: Adnilsam Apat