Ringkas Mudah Dan Sedap Sup Ayam Tumis Darat

Ringkas Mudah Dan Sedap Sup Ayam Tumis Darat

Sup ayam. Salah satu makanan kegemaran saya sejak dari kecil. Dapat makan berkali-kali dalam sebulan pun tak ada masalah. Kalau makan, mesti makan stail nasi banjir (nasi dalam kuah sup). Dalam sup tu pula, wajib kena letak kentang dan lobak merah yang banyak. Masa kecil, almarhum mak dan mak penjaga yang masakkan. Sekarang ni, nak makan kena la masak sendiri.

Saya banyak belajar memasak dari blog blogger-blogger masakan lebih kurang 10 tahun lalu. Tak sempat nak belajar apa-apa pun dengan almarhum mak sebab dia ‘pergi’ masa saya masih di universiti.

Sebelum ni, kalau nak masak sup ayam, saya mesti masak versi yang kena guna rempah sup. Tapi, selepas tengok cara masak sup ayam tumis darat di YouTube Kak Yan, saya pun cubalah masak. Alamak. Kenapa rasa versi yang ni lebih sedap. Lepas pada tu, terus saya tinggalkan resipi sup ayam yang menggunakan rempah sup dan akan masak versi tumis darat sahaja.

Resipinya sangat mudah. Tapi, kalau nak dapatkan kuah yang jernih kena rajin sikit untuk buang keladak (scum) dari rebusan ayam. Baiklah. Saya kongsikan resipi sup ayam tumis darat cara saya. Selamat mencuba.

Bahan-Bahan:

  • 1 L air
  • 1/2 ekor/4-5 ketul ayam
  • 1 sup bunjut
  • 2 inci halia
  • 1/2 sdb serbuk lada putih/lada hitam
  • 4 biji kentang (potong baji)
  • 1 batang lobak merah (potong baji)
  • 4 biji bawang kecil (hiris)
  • 2 ulas bawang putih (hiris)
  • 1/2 batang kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga
  • Daun sup
  • Daun bawang
  • Bawang goreng

Cara Penyediaan:

1. Masukkan air, ayam, sup bunjut dan halia ke dalam periuk. Rebus ayam. Buang keladak yang terhasil dengan menggunakan penapis sehingga berpuas hati.

2. Selepas itu, bolehlah masukkan serbuk lada putih atau lada hitam, kentang dan lobak merah. Biarkan kentang dan lobak merah empuk serta ayam masak sepenuhnya. Perasakan dengan garam secukupnya.

3. Di dalam kuali yang lain, panaskan sedikit minyak masak. Tumis bawang kecil, bawang putih dan rempah 3 sekawan sehingga bawang bertukar keperangan. Curahkan bahan yang ditumis ke dalam periuk. Tutup periuk serta merta buat seketika.

4. Akhir sekali, taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng ke dalam sup ayam. Sedia untuk dihidangkan.

Makan Dengan Sambal Minang Ni. Pedas dan Sedap Menambah Selera >> KLIK DI SINI

Ringkas Mudah Dan Sedap Sup Ayam Tumis Darat

Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah