Resepi Sos dan Kuah Sup Yong Taufu
Ada penggemar yong taufu? Setiap kali teringin nak makan, saya akan masak sendiri. Ahli keluarga saya ramai, kalau beli di luar tak puas makan, kos pun tinggi.
Saya nak kongsikan resepi sos (sos hitam) dan kuah sup (hidangan yong taufu dengan kuah sup terkenal di sebelah Johor). Saya mention begini sebab ramai kenalan saya dari negeri lain agak pelik bila tahu yong taufu dimakan dengan sup.
Saya kongsikan bahan penyediaan yang sangat jimat dan berpatutan. Anggaran harga bahan memasak hanya RM50 saja (termasuk bahan isian yong taufu ya).

Bahan A: Sos Hitam
- 6 sudu makan taucu
- 4 sudu makan tepung jagung.
- 1 cawan kicap cair (kicap lemak manis)
- 8 sudu sos tiram
- 8 sudu gula pasir
- 6 cawan air (3 cawan untuk dikisar sekali, 3 cawan masukkan ke periuk untuk dikacau bersama selepas bahan-bahan tadi dikisar)
- 2 ketul kiub ikan bilis
- Garam secukup rasa
+ Jika nak rasa pedas, tambahkan 3-4 sudu cili kering kisar ya.
Cara Buat:
1. Kisar semua bahan di atas. Kemudian masak kesemua bahan kisar tadi sehingga sebati. Kuah perlulah sentiasa dikacau bagi mengelakkan kuah menjadi berketul-ketul. Jika terlalu pekat, tambahkan sedikit air panas hingga menampakkan ‘texture’ kuah menjadi sempurna.
2. Kalau sos hitam ni tak habis makan, boleh disejuk bekukan ya.

Bahan B: Kuah Sup
- 3 ulas bawang putih – dititik
- 3 hiris halia
- 2 ketul kiub pati ikan bilis
- Garam secukupnya
- Sedikit gula (terpulang pada citarasa masing-masing)
- Daun bawang
- Bawang goreng
- Air masak (anggaran 1 jug setengah)
Cara Buat:
1. Tumis bawang putih dan halia dengan sedikit minyak panas. Kemudian masukkan air masak diikuti kiub pati ikan bilis. Tambahan sedikit garam hingga cukup rasa. Masak hingga mendidih.
2. Kuah sup ini juga sesuai dijadikan air rebusan bahan isian yong taufu.
Silakan kongsi resipi, saya izinkan. Selamat mencuba.

Resepi Oleh: Nor Husma Husin